ANGGOTA polis mengiringi tertuduh Wan Mazri Pak Wan Teh (kiri) ke kamar Mahkamah bagi mendengar keputusan pendakwaan kes mengedar dadah di Mahkamah Tinggi 3, Pulau Pinang beliau didapati bersalah dan dijatuhi hukum gantung sampai mati. FOTO Ramdzan Masiam
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh Wan Mazri Pak Wan Teh (kiri) ke kamar Mahkamah bagi mendengar keputusan pendakwaan kes mengedar dadah di Mahkamah Tinggi 3, Pulau Pinang beliau didapati bersalah dan dijatuhi hukum gantung sampai mati. FOTO Ramdzan Masiam
Hadzlihady Hassan


PENGAWAL keselamatan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Georgetown, semalam kerana mengedar 1.4 kilogram ganja empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas pihak pembela gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes di akhir pembelaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh Wan Mazri Pak Wan Teh, 40, didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Mei 2014, 1.30 pagi di rumah di Kampung Sulup, Teluk Kumbar.

Tertuduh ditahan polis dalam bilik di rumah terbabit dan hasil pemeriksaan menemui dadah berkenaan, alat penimbang dan juga beg plastik kecil.

Terdahulu, tertuduh kelihatan tenang sejurus hukuman dibacakan terhadapnya sebelum dia dibawa keluar dari kamar mahkamah oleh polis.

Bapanya turut berada dalam kamar mahkamah untuk mendengar keputusan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Ahmad Shahrir ketika itu menangguhkan sementara menunggu keputusan dan bapa tertuduh dilihat keluar sebelum dia terus menghilangkan diri serta tidak sempat mendengar keputusan yang dikenakan terhadap anaknya itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 7:10 PM