Helmy Abd Rahman dan Baharom Bakar

CALON Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Marang menentang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei ini, berpotensi menjadi ‘giant killer’ kedua selepas Datuk Seri Abdul Rahman Bakar.

Abdul Rahman pernah mengalahkan Abdul Hadi sebanyak dua kali iaitu dalam PRU pada 1986 dan 2004 sehingga digelar sebagai ‘giant killer’ oleh pemerhati politik tanah air.

Ketua UMNO Bahagian Marang, A Latiff Awang percaya pucuk pimpinan BN akan meletakkan calon yang digemari masyarakat setempat sekali gus mencerahkan peluang untuk menang di kerusi berkenaan.

“Tak mustahil akan wujud ‘giant killer’ kedua selepas Rahman Bakar, lebih-lebih lagi kini wujud perpecahan dalam pembangkang dengan kemunculan PAN (Parti Amanah Negara).

“Selain itu, dalam tempoh lima tahun, kerajaan negeri sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Marang termasuk di DUN (Dewan Undangan Negeri) yang kalah.

“Saya yakin rakyat Marang akan memilih calon yang mampu dan sudah terbukti sering membela mereka iaitu BN,” katanya kepada NSTP di Kuala Terengganu, semalam.

Abdul Rahman
Abdul Rahman

Beliau berkata, secara realitinya, DUN Alor Limbat dan Bukit Payong yang kini dikuasai pembangkang juga berpotensi cerah untuk kembali kepada BN.

“Dua DUN ini pernah dimiliki BN, bukan sekali tetapi banyak kali dan kerana itu saya yakin BN akan menguasai kedua-dua DUN selain mengekalkan kerusi Pengkalan Berangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 4:54 PM