ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK merampas kalkulator saintifik tiruan   di sebuah premis di Lorong Haji Taib.
ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK merampas kalkulator saintifik tiruan di sebuah premis di Lorong Haji Taib.
Mohd Azam Shah Yaacob


Kuala Lumpur: Tidak cukup dengan mengaut keuntungan menjual jam tangan, beg tangan, dompet, kasut dan minyak wangi tiruan, peniaga barang tiruan di ibu negara kini turut mengambil kesempatan dengan menjual kalkulator saintifik tiruan menggunakan jenama Casio kepada pelanggan.

Sasaran mereka adalah pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi yang menggunakan peralatan itu.

Dijual dengan harga antara RM80 hingga RM200 bergantung kepada model ditiru menyamai produk asli, kalkulator saintifik berkenaan turut didatangkan dengan kotak lengkap bersama buku panduan penggunaan.

Bagaimanapun, tidak seperti kalkulator saintifik asli yang mampu mengira permasalahan matematik yang sukar, fungsi kalkulator ini pula adalah terhad.

Ada antaranya tidak dapat melakukan pengiraan matematik seperti logaritma, algebra, aritmetik, trigonometri, persamaan kuadratik dan bentuk piawai selain dikhuatiri ia memberikan jawapan tidak tepat terhadap sebarang permasalahan matematik.

Bagaimanapun, kegiatan penjualan kalkulator tiruan itu berjaya dihidu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur yang menyerbu sebuah premis di Lorong Haji Taib, Selasa lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Low Swee Hon ketika dihubungi, semalam, berkata dalam serbuan itu, KPDNKK Kuala Lumpur merampas 201 unit kalkulator santifik Casio tiruan bernilai RM3,015.

“Serbuan dijalankan bersama wakil cap dagang jenama Casio di negara ini yang mengenal pasti kegiatan penjualan kalkulator saintifik tiruan itu.

“Semua barang yang dirampas bukan saja menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menjual barang tiruan, malah barang berkenaan tidak berkualiti selain tidak berfungsi sama seperti produk asli,” katanya.

Katanya, pengguna diingatkan berhati-hati supaya tidak terbeli produk tiruan itu.

“Ini kerana produk tiruan itu tidak menjalani ujian penilaian kualiti dan dikhuatiri memberi jawapan tidak tepat terhadap sebarang permasalahan matematik sekali gus mengelirukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 6:44 AM