Zaid  menunjukkan Salinan Surat Daftar Kelahiran dan Surat Keizinan Pengangkatan yang diterimanya sewaktu memperoleh Nur Amirah Sorfina sebagai anak angkat.
Zaid menunjukkan Salinan Surat Daftar Kelahiran dan Surat Keizinan Pengangkatan yang diterimanya sewaktu memperoleh Nur Amirah Sorfina sebagai anak angkat.
Adnan Ibrahim

Kluang: Suami isteri memohon kerjasama orang ramai mengesan seorang wanita bagi membantu urusan dokumen pengenalan diri kanak-kanak yang diserahkan kepada mereka, lima tahun lalu.

Zaid Jusoh, 42, berkata, wanita dikenali sebagai Mardziah Ar Raaqibbah pernah bekerja dengannya di Kuala Lumpur.

Katanya, Mardziah yang ketika itu berusia 27 tahun menyerahkan bayi perempuan, Nur Amirah Sorfina Abdul Sobur kepada isterinya, Kasma Shafiee, 45.

“Kini, Nur Amirah berusia lima tahun dan amat memerlukan dokumen diri yang lengkap bagi memudahkan urusan khususnya dalam soal pendidikan, kebajikan dan kesihatannya pada masa akan datang,” katanya ketika hadir di pejabat NSTP di sini, semalam.

Lelaki itu yang bekerja sendiri berkata, dia dan isteri amat sayangkan kanak-kanak berkenaan yang kini dianggap seperti anak sendiri.

“Apatah lagi, kami belum dikurniakan cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu,” katanya.

Bercerita lanjut, Zaid berkata, ketika penyerahan, Nur Amirah berusia 37 hari dan hanya Surat Daftar Kelahiran dan Surat Keizinan Pengangkatan yang diserahkan kepadanya.

Namun, butir peribadi ibu bapa bayi itu tidak lengkap menyebabkan sukar untuk memproses dokumen pengenalan diri.

“Penyerahan itu berlaku di Nombor 9-3A, Jalan Pandan 3/10, Pandan Jaya, Selangor, manakala wanita itu tinggal di Lot 134, Jalan Merbau, Kampung Melayu Ampang, Selangor.

“Kami pernah menjejaki wanita itu dua tahun selepas penyerahan berkenaan untuk menguruskan hal penyerahan anaknya secara sah, namun difahamkan dia berpindah ke kampung halamannya di Perak,” katanya.

Zaid berkata, dia dan isterinya juga pernah mencari wanita berkenaan di alamat yang diberikan ibu saudaranya, namun usaha itu tidak berhasil.

Katanya, wanita terbabit dipercayai sudah mendirikan rumah tangga dan berada di Sabah kerana mengikut suaminya bertugas di negeri berkenaan.

“Oleh itu, kami meminta Mardziah Ar Raaqibbah atau ibu saudaranya dapat menghubungi kami di talian 017-7371603,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 4:37 AM