SERPIHAN jatuh di pekarangan sekolah.
SERPIHAN jatuh di pekarangan sekolah.
BUMBUNG bangunan   Sekolah Kebangsaan Danau Kota 1 diterbangkan ribut, semalam.
BUMBUNG bangunan Sekolah Kebangsaan Danau Kota 1 diterbangkan ribut, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Faris Fuad

Kuala Lumpur: Murid dan guru di Sekolah Kebangsaan Danau Kota 1, Setapak di sini, gempar apabila sebahagian bumbung bangunan sekolah berkenaan tercabut akibat kejadian ribut petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, bumbung sepanjang lebih 10 meter itu kemudian terhempas di bawah bangunan sekolah tiga tingkat itu.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 3.20 petang.

“Seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Setapak dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati bumbung sekolah itu jatuh akibat diterbangkan angin,” katanya.

Difahamkan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah melakukan kerja pembersihan di lokasi kejadian manakala pihak bomba memastikan bekalan elektrik diputuskan bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, lima kereta mengalami kerosakan selepas dihempap sebatang pokok di pangsapuri Taman Sejahtera, Segambut di sini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.11 petang sebelum lima anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja pembersihan.

Insiden sama turut berlaku berhampiran sebuah pusat beli belah di Taman Dagang Ampang, apabila dua kereta turut rosak dihempap pokok tumbang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 9:40 AM