LOKASI hotel dipercayai remaja perempuan berusia 16 tahun dirogol oleh seorang remaja lelaki yang baru dikenalinya Senawang. FOTO Adzlan Sidek
LOKASI hotel dipercayai remaja perempuan berusia 16 tahun dirogol oleh seorang remaja lelaki yang baru dikenalinya Senawang. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


KERAJAAN negeri akan mengadakan perbincangan bagi memperketatkan peraturan sewaan bilik di hotel bajet bagi mengelak remaja melakukan maksiat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, ia juga bertujuan mengelak perbuatan maksiat serta kes rogol yang berlaku di hotel terbabit.

Katanya, buat masa ini hotel bajet memiliki kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mengikut syarat yang ditetapkan.

"Seperti diketahui, tidak ada syarat umur untuk menyewa di hotel bajet. Biarpun begitu kita sedia maklum premis itu sering dijadikan lokasi maksiat dan tindakan harus diambil," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan media hari ini mengenai remaja perempuan yang juga pelajar kolej di Seremban mendakwa dirogol remaja lelaki sebayanya yang baru dikenali dua hari di hotel bajet di Senawang, di sini.

Dalam kejadian Sabtu lalu itu, mangsa dikatakan keluar dari hostel di Taman Bukit Delima di sini tanpa pengetahuan warden bagi bertemu remaja lelaki berkenaan di Senawang.

Mangsa ditemani dua rakan perempuan bertemu remaja lelaki itu di Uptown Senawang 10 malam pada Sabtu lalu. Mereka dikatakan makan malam bersama sebelum bersiar-siar.

Selepas penat berjalan ketiga-tiga remaja perempuan berkenaan dibawa ke bilik sebuah hotel bajet di Senawang untuk berehat, namun mangsa mendakwa kira-kira 2 pagi, dia dipeluk oleh remaja lelaki terbabit dan cuba melawan serta menjerit meminta tolong dua rakan yang tidur di katil sebelah, namun mulutnya ditutup lelaki terbabit.

Jalaluddin berkata, kemungkinan remaja bawah umur yang mahu menyewa di hotel bajet perlu diiringi ahli keluarga dewasa atau ibu bapa.

"Kerajaan negeri berharap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) serta Majlis Agama Islam negeri (MAINS) kerap melakukan pemeriksaan di hotel bajet bagi membendung kelakuan maksiat dalam kalangan remaja Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 6:02 PM