Siti Rukiah menutup muka sebaik keluar dari Mahkamah Majistret Maran selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyalurkan maklumat palsu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Siti Rukiah menutup muka sebaik keluar dari Mahkamah Majistret Maran selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyalurkan maklumat palsu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

IBU tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Maran, hari ini, terhadap tuduhan membuat laporan palsu membabitkan dirinya lemas di FELDA Jengka 15, di sini, Januari lalu.

Tertuduh, Siti Rukiah Hassan, 38, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pendakwaan dibaca di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda.

Siti Rukiah yang tinggal di FELDA Jengka 14, dekat Maran dituduh menyalurkan maklumat palsu kepada seorang individu berhubung kejadian lemas membabitkan dirinya bertempat di sungai bawah jambatan di FELDA Jengka 15, pada jam 4.30 petang, 21 Januari lalu yang sebenarnya tidak berlaku dan ia adalah laporan palsu menyebabkan penjawat awam boleh menggunakan kuasa mereka di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau keduanya sekali.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Ahmad Salam Yusof kemudian meminta mahkamah mengenakan jaminan yang setimpal kepada tertuduh atas kesalahan dilakukan.

Siti Rukiah yang tidak diwakili peguam kemudian merayu jaminannya dikurangkan kerana dia hanya berniaga nasi lemak serta hidup sebagai ibu tunggal sebelum majistret menawarkan jaminan RM1,500 kepada tertuduh dengan seorang penjamin.

Nur Syafiqah Noorinda kemudian memutuskan 2 April ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 7:48 PM