ANGGOTA bomba meninjau lokasi dua wanita berpaut pada pokok selepas rumah mereka dihanyutkan arus deras akibat kepala air di Kampung Batu 60, Jalan Bambangan, Beaufort, petang ini. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba meninjau lokasi dua wanita berpaut pada pokok selepas rumah mereka dihanyutkan arus deras akibat kepala air di Kampung Batu 60, Jalan Bambangan, Beaufort, petang ini. FOTO ihsan bomba
Fardy Bungga


DUA wanita terselamat apabila sempat berpaut pada pokok selepas rumah mereka dihanyutkan arus deras disebabkan 'kepala air' dalam kejadian di Kampung Batu 60, Jalan Bambangan, Beaufort, petang ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, kedua-dua mangsa diselamatkan ahli keluarga mereka tidak lama selepas kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4:41 petang.

"Sepasukan 10 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi yang terletak 15 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati sebuah rumah hanyut dibawa kepala air dan dua mangsa wanita terbabit dalam kejadian berkenaan," katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Jurucakap itu berkata, bomba kemudian masuk ke kawasan tempat kejadian dan sampai ke rumah mangsa walaupun menghadapi kesukaran disebabkan arus deras dan kawasan bukit curam.

"Dua mangsa terbabit berpaut pada pokok iaitu Rozlin Epal 41, dan Shirley Pius, 21, masing-masing ditemui pada jarak 50 dan 100 meter dari lokasi mereka dihanyutkan sebelum diselamatkan keluarga mereka.

"Kami kemudian membuat pemantauan dan menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya berwaspada dan berpindah sekiranya air naik semula," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak ketika dihubungi berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan tidak cedera serius selepas diselamatkan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada mangsa atau keluarga yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 9:10 PM