OMAR Bakhtiar (dua kanan ) menunjukkan wajah suspek dan barangan yang dirampas, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
OMAR Bakhtiar (dua kanan ) menunjukkan wajah suspek dan barangan yang dirampas, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


LELAKI memberi alasan mahu mencari duit untuk membeli susu anak ketika ditahan selepas menyamar sebagai anggota polis di kediamannya di Taman Aman Sejahtera, Parit Buntar, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, tangkapan ke atas suspek, 34, dibuat pada 3.30 petang selepas polis menerima aduan pada 17 Februari lalu.

"Ketika soal siasat, lelaki itu memberi alasan mahu membeli susu anak selain merawat anak bongsunya yang mengidap penyakit tisu otak.

"Suspek mengaku terbabit dalam kejadian di Titi Serong, Parit Buntar pada 1 pagi, 17 Februari lalu di mana dia menyamar sebagai anggota polis sebelum melakukan samun terhadap seorang wanita.

"Mangsa dilaporkan mengalami kerugian RM100 dan difahamkan lelaki itu turut bertindak memukul mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, suspek ditahan di rumahnya dan pihak polis turut merampas motosikal Yamaha LC135 serta beberapa barangan lain.

Katanya, siasatan mendapati suspek berasal dari Shah Alam, Selangor sudah berkeluarga turut mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah.

"Suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes lain seperti samun ke atas motel dan hotel selain restoran.

“Saringan ujian air kencing ke atas suspek turut didapati positif dadah ampthetamine dan kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam dan samun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 8:23 PM