Mohd Anwar Patho Rohman

Kuala Lumpur: Semua pihak terutama pembangkang perlu mematuhi keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak perlu berlapang dada dengan keputusan mahkamah kerana ia dibuat mengikut sistem perundangan dan perlembagaan negara.

“Kita harus mematuhi keputusan dibuat mahkamah dan tindakan susulan harus dilakukan SPR. Kami sebagai kerajaan juga akur dengan keputusan dibuat mahkamah.

“Parti politik perlu akur keputusan mahkamah kerana ia mengikut sistem perundangan dan garis panduan dalam Perlembagaan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pra pelancaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 di sini, semalam.

DR Ahmad Zahid. FOTO Bernama
DR Ahmad Zahid. FOTO Bernama

Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan cadangan SPR melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, urusan persempadanan semula itu tidak mengikat mana-mana pihak dan oleh itu tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

Beliau menyatakan demikian dalam keputusan menolak dua permohonan dikemukakan dua anggota Parlimen DAP dari Perak dan tujuh pengundi dari Melaka bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelahi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 4:33 AM