GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


HAJAT tujuh kaki judi termasuk seorang wanita warga Vietnam menjadikan sebuah tokong di Jalan Che Teng, Chukai sebagai port berjudi terbantut selepas tokong berkenaan diserbu, kelmarin.

Dalam serbuan pada 3.15 pagi, semua yang ditahan berusia antara 39 hingga 74 tahun termasuk seorang warga emas.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hasil risikan dan maklumat awam.

Katanya, anggota polis sudah membuat pemantauan sebelum mendapati terdapat sekumpulan lelaki dan wanita sedang duduk dan berdiri mengelilingi meja dipercayai sedang bermain judi.

"Anggota polis kemudian memperkenalkan diri dan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka cuba melarikan diri, namun gagal kerana kawasan berkenaan sudah dikepung.

"Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai barangan seperti meja kayu, 36 biji jerami batu dan dua biji dadu dipercayai digunakan untuk bermain judi," katanya.

Mohd Said berkata, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 39 tahun positif dadah jenis amphethamine, manakala enam yang lain negatif dadah.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 11:55 AM