Sebahagian daripada 16 lelaki yang ditahan ketika leka berjudi di stor penyimpanan sayur, Jalan Munshi Abdullah di sini, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Sebahagian daripada 16 lelaki yang ditahan ketika leka berjudi di stor penyimpanan sayur, Jalan Munshi Abdullah di sini, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sekumpulan lelaki yang leka berjudi di stor penyimpanan sayur di Jalan Munshi Abdullah, di sini, bertempiaran lari selepas diserbu pihak berkuasa, hari ini.

Malah, tindakan mereka bersembunyi dalam semak bagi mengelak ditahan dalam serbuan pada 1.45 pagi itu juga gagal apabila kawasan terbabit sudah dikepung.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, dalam serbuan Op Dadu itu, seramai 16 lelaki termasuk seorang penganjur berusia 50 tahun idtahan untuk siasatan.

"Suspek berusia 23 hingga 50 tahun itu bukan sahaja ditahan kerana kesalahan bermain berjudi, tetapi turut didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuat kuasa ketika ini.

"Malah, ada antara mereka sanggup terjun dan bersembunyi dalam parit bagi mengelak ditangkap polis," katanya.

Turut dirampas ialah 52 keping daun pakau, jam digital, empat meja bersama kaki besi serta wang tunai hampir RM10,000,

Rahimi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan terbabit dengan pertaruhan judi jenis daun pakau di kawasan berkenaan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi proses dokumentasi dan dikenakan kompaun kerana ingkar dengan PKPB.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala tindakan kompaun dikenakan di bawah Peraturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 4) 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 1:39 PM