KETUA Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan.
KETUA Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan.
BERNAMA

POLIS masih menunggu laporan forensik mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah di Nibong Tebal, Pulau Pinang bagi mengenal pasti individu yang mencuri telefon bimbit seorang guru.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada imej individu di dalam CCTV itu adalah pelajar tingkatan dua yang meninggal dunia selepas cuba membunuh diri tempoh hari, berikutan kualiti visual berkenaan.

"Setakat ini saya tidak boleh mengesahkan... visual itu sangat sukar untuk disahkan.

"Kami memerlukan kepakaran forensik untuk meningkatkan kualiti gambar atau visual dan sehingga itu, kita perlu menunggu," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid di Putrajaya, kelmarin.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik sumber polis sebagai mengesahkan rakaman CCTV sekolah yang diperoleh menunjukkan pelajar perempuan berusia 14 tahun yang cuba membunuh diri itu mengambil telefon bimbit milik gurunya.

Pelajar itu meninggal dunia pada 1 Februari lalu selepas tujuh hari dalam keadaan koma selepas menggantung diri di dalam bilik di rumahnya akibat dituduh mencuri telefon bimbit gurunya pada 24 Januari lalu.

Thaiveegan berkata, laporan sedemikian boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Ditanya bila CCTV itu diberikan kepada pihak forensik, beliau berkata, rakaman terbabit diserahkan sejurus pihaknya memulakan siasatan.

Berhubung bila kertas siasatan kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selepas tiga kertas siasatan terdahulu dipulangkan semula, Thaiveegan berkata, ia bergantung kepada secepat mana laporan forensik CCTV itu diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 12:29 AM