Kalbana Perimbanayagam dan Mohd Hasbi Sidek


KEBAKARAN bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Petaling Jaya, hari ini berpunca akibat percikan api pada panel tingkap yang mudah terbakar ketika kerja pengubahsuaian dilakukan di tingkat satu bangunan itu.

Difahamkan, kebakaran hanya membabitkan bahagian luar iaitu dinding bangunan, bagaimanapun hanya kira-kira tiga peratus bahagian dalam bangunan di tingkat enam terbakar.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid berkata, semua kakitangan agensi terbabit selamat apabila tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian.

"Sebenarnya, kebakaran itu bukan berlaku di dalam bangunan. Ia hanya membabitkan dinding di bahagian luar yang merebak dari tingkat satu.

"Siasatan awal bomba mendapati terdapat kerja pengubahsuaian di tingkat satu yang menyebabkan berlaku percikan api sebelum terkena pada panel tingkap. Kami mendapati panel tingkap berkenaan adalah bahan mudah terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

ANGGOTA bomba memeriksa kesan kebakaran pada bangunan KWSP, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Sairien Nafis
ANGGOTA bomba memeriksa kesan kebakaran pada bangunan KWSP, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Sairien Nafis

Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan pada 11.52 pagi sebelum sepasukan 70 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya bersama jentera bergegas ke lokasi.

Katanya, keadaan cuaca panas menjadi antara faktor api merebak dengan cepat ke hampir keseluruhan dinding berikutan panel tingkap itu menggunakan bahan mudah terbakar.

"Siasatan juga mendapati kebakaran di bahagian dalam di tingkat enam bangunan turut membabitkan fail, namun kami difahamkan dokumen berkenaan tidak penting bagi agensi ini (KWSP)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, seramai 527 kakitangan yang bertugas di bangunan berkenaan berada dalam keadaan selamat.

"Polis membantu bomba dengan mengumpulkan semua staf yang berada dan bekerja di bangunan KWSP ke kawasan lapang. Kami mendapati jumlah pekerja cukup.

"Bagaimanapun, keadaan trafik sesak sejauh lima kilometer dari kedua-dua di Lebuhraya Persekutuan,” katanya.

Berita berkaitan

Maklumat dan simpanan ahli selamat

Bangunan KWSP terbakar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 5:23 PM