AHMAD Bashah (kiri) mendengar taklimat ringkas pelan tapak Ekspo Muafakat Kedah daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Isahak Murat (dua kiri). FOTO Sharul Hafiz Zam
AHMAD Bashah (kiri) mendengar taklimat ringkas pelan tapak Ekspo Muafakat Kedah daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Isahak Murat (dua kiri). FOTO Sharul Hafiz Zam
Adie Suri Zulkefli

KERAJAAN negeri meletakkan sasaran untuk menarik 400,000 pengunjung ke Ekspo Muafakat Kedah, ekspo terbesar yang julung kali diadakan di negeri ini, 24 Feb hingga 3 Mac depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ekspo tujuh hari di Stadium Darul Aman itu akan menampilkan pencapaian kerajaan negeri serta perancangan untuk semua rakyat Kedah.

Beliau berkata, ekspo itu akan menampilkan 20 kluster merangkumi pelbagai sektor dengan penyertaan 199 jabatan dan agensi kerajaan melibatkan kerajaan pusat dan negeri, serta sektor swasta.

"Ekspo itu akan menampilkan pelbagai acara, antaranya temuduga kerja, peluang melanjutkan pelajaran, tawaran menarik untuk hartanah, jualan murah untuk barangan keperluan asas dan sebagainya.

"Pegawai dari Bank Negara dan institusi kewangan juga akan mengambil bahagian untuk memudahcara pengunjung yang masih mencari rumah idaman mereka.

"Kita juga akan menampilkan usahawan dalam pelbagai bidang seperti ‘food truck’, makanan popular Kedah dan sebagainya bagi membuka ruang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka.

"Secara ringkasnya, terdapat sesuatu kepada semua orang di ekspo ini, yang sememangnya dirancang untuk memenuhi keperluan dan aspirasi pelbagai lapisan masyarakat," katanya selepas melawat tapak ekspo tersebut, hari ini.

Antara kluster yang akan ditampil sepanjang Ekspo Muafakat Kedah adalah Kluster Pameran DiRaja, Barakah Kedah, Suara Hati, Generasi Muda Pemimpin Negara, Kedah Harmoni, Eko Kedah, Kedah Islami, Bakat Kedah, Kedah Aman, Rangkaian Kedah, Kedah Berdaya Huni, Digital Kedah, Kedah Holistic, Kewangan, Agro Kedah, Kedah Bizz, Warisan dan Pelancongan, Pameran Perkhidmatan, Pameran Daerah dan 'Petting Zoo'.

Pengunjung berpeluang untuk bertemu dengan Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Mustapha dan tokoh usahawan seperti Fattah Amin and Fizo Omar serta selebriti tempatan antaranya Rozita Che Wan, Janna Nick dan ramai lagi.

Selain rakyat Kedah, Ahmad Bashah berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan kehadiran pengunjung dari Perlis, Penang dan juga utara Perak.

Pengunjung juga akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah seperti kereta, motorsikal, barangan elektrik, pakej penginapan hotel, pakej pelancongan, baucer hiasan rumah dan gajet.

Menurut Ahmad Bashah lagi, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menawarkan hadiah 'luar biasa' untuk cabutan bertuah tersebut yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 10:38 PM