GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Aliza Shah dan Julia Fiona


PENUBUHAN Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (3PAN) oleh kerajaan di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memastikan pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) lebih sistematik, terutama dalam menangani isu pengurusan sewaan dan penyenggaraan kemudahan di PPR berkenaan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, 3PAN juga akan membantu kerajaan merancang semula perumahan awam kos rendah dan sederhana yang berusia lebih 20 tahun.

Menurutnya, badan berkenaan bukan sahaja akan membuat perancangan supaya kediaman lebih baik termasuk dari segi bilik dan kemudahan lain tetapi juga akan mengatasi masalah pembuangan sampah dan barang terpakai yang berada di luar kawalan.

"Dalam keadaan sekarang selepas kerajaan menyiapkan projek perumahan awam , ia akan diserahkan kepada kerajaan negeri. Namun ia nyata tidak efektif berikutan ada kerajaan negeri di bawah pemerintahan parti pembangkang yang gagal menjaga kebajikan penduduk.

"Kini sudah tiba masanya untuk kerajaan mewujudkan 3PAN yang akan merancang dan menguruskan semua rumah ini dengan teratur. Kerajaan yakin kerja penyenggaraan PPR akan menjadi lebih baik dan sempurna, termasuk melakukan penambahbaikan untuk pembangunan semula kawasan atau projek menerusi tata kerja 3PAN yang lebih sistematik," katanya kepada akhbar New Straits Times (NST).

Beliau berkata, 3PAN akan dimasukkan di bawah Akta Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara yang kini sedang digubal sebagai akta baharu.

"Akta berkenaan sudah diluluskan oleh kabinet dan dihantar ke Peguam Negara untuk penilaian akhir sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelan roboh dan bina semula rumah yang berusia lebih 20 tahun, beliau berkata, 3PAN akan menjalankan analisa lebih dahulu mengenai keadaan setiap bangunan sebelum mengambil tindakan lanjut.

"Dalam perancangan baru itu nanti, kawasan letak kereta yang lebih luas, taska dan ruang rehat untuk warga emas akan diberi keutamaan.

"Semua pemilik rumah tidak perlu risau untuk hilang hak ke atas rumah masing-masing apabila perancangan baharu itu dilaksanakan berikutan akta baru itu akan memberi jaminan hak milik kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 8:35 PM