NAJIB bersarapan bersama penduduk setempat di Medan Selera Tanjung Malim. FOTO Mohd Yusni Ariffin
NAJIB bersarapan bersama penduduk setempat di Medan Selera Tanjung Malim. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Mohd Nasif Badruddin


KEHADIRAN Perdana Menteri bersarapan bersama penduduk setempat di Medan Selera Tanjong Malim, Tanjong Malim, hari ini menarik perhatian ramai pengunjung untuk bersalaman dan mengambil gambar bersama beliau.

Datuk Seri Najib Razak yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pengangkutan; Datuk Seri Liow Tiong Lai tiba di medan selera itu pada 9.45 pagi dengan menaiki bas dari Stesen Kereta api Tanjong Malim selepas menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur.

Najib meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan wakil penduduk sambil menikmati kuih pau, apam balik dan nasi lemak.

Pesara guru, Mukhlas Kasimin, 74, berkata dia teruja dan tidak menyangka dapat bersarapan di sebelah pemimpin nombor satu negara buat pertama kali.

Katanya, baru semalam wakil Majlis Daerah Tanjong Malim menghubunginya untuk bersarapan semeja dengan Perdana Menteri yang tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini.

"Perdana Menteri seorang yang mudah mesra serta peramah orangnya dan beliau bertanya khabar kami serta keadaan di Tanjong Malim ini.

"Saya ucap berbanyak terima kasih kepada beliau kerana sudi singgah di sini bertemu rakyat kerana tidak semua orang mendapat peluang sebegini dan tidak semua tempat beliau pergi," katanya.

FOTO: YUSNI ARIFFIN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 11:07 AM