FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Ibrahim Isa


TEKANAN hutang dipercayai punca seorang lelaki maut akibat memotong leher sendiri menggunakan mesin pemotong besi dalam kejadian di sebuah bengkel sengkuap di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, malam semalam.

Dalam kejadian pada 9 malam, mayat lelaki berusia 51 tahun ditemui terlentang berlumuran darah di dalam bengkel berkenaan oleh orang ramai sebelum menghubungi pasukan polis dan ambulans.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, bertindak atas laporan sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan teruk di leher.

"Selain itu, kami menemui mesin pemotong besi berada di sebelah kanan mangsa disyaki digunakan ketika memotong lehernya.

"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun tidak menolak kemungkinan berlaku disebabkan masalah hutang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa memakai kemeja-T biru dan seluar pendek hitam paras lutut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 6:14 PM