ANTARA ujian diri di dalam talian yang semakin popular.
ANTARA ujian diri di dalam talian yang semakin popular.
Yusmizal Dolah Aling


JODOH, ramalan masa depan, penentuan karakter, adalah antara beberapa ujian diri yang terdapat di dalam laman Facebook yang semakin popular, namun ada di antaranya boleh menjejaskan akidah sebagai umat Islam.

Penasihat Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed berkata, biarpun kuiz berkenaan disediakan untuk tujuan suka-suka, namun ada di antaranya melanggar hukum agama termasuk membuat ramalan mengenai berapa jumlah anak yang akan diperoleh di dalam hidup.

Katanya, persoalan mengenai seseorang di masa depan adalah hak mutlak Allah SWT dan sebagai manusia, kita tidak boleh membuat sebarang tekaan mengenainya.

"Saya terima aduan daripada ibu bapa yang bimbang kerana ada anak-anak mula bertanyakan mengenai jumlah ahli keluarga.

"Bila diteliti, mereka memaklumkan ada laman web menyediakan ramalan mengenai diri, keluarga dan apa saja. Ada yang percaya ramalan itu akan berlaku dalam hidup mereka. Ini yang perlu kita lihat semula," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sehingga kini terdapat lebih 100 kuiz mengenai kehidupan yang menjadi trending dalam laman web berkenaan dan orang ramai boleh membuat soalan untuk dikongsi dengan netizen lain.

Katanya, biarpun pengendali turut memaklumkan bahawa ia diwujudkan untuk suka-suka dan tidak akan bertanggungjawab sekiranya ia digunakan untuk tujuan lain, namun ia berisiko menjejaskan akidah dan pegangan sebagai seorang Islam.

"Mana boleh teka apa kita akan jadi pada masa depan. Kemudian ia akan dikongsi di dalam Facebook dan mengundang fitnah.

"Di dalam Islam, kita dituntut untuk mencegah. Ada banyak lagi saluran untuk bersuka-suka, bukan dengan permainan yang menggugat akidah. Jadi, hentikanlah," katanya.

Dr Abdul Kadir berkata, sejak Oktober tahun lalu, PPIM menerima aduan daripada orang ramai yang melihat kuiz berkenaan di Facebook.

"Mereka keliru dengan kuiz berkenaan, apakah salah dari hukum atau bagaimana. Kita juga akan merujuk perkara itu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 10:38 PM