LATHI Challenge mengubah seseorang daripada tidak bersolek   kepada solekan  menakutkan.
LATHI Challenge mengubah seseorang daripada tidak bersolek kepada solekan menakutkan.
Muhammad Saufi Hassan

TULAR di laman sosial berhubung cabaran Lathi atau Lathi Challenge yang turut menampilkan pengguna media sosial termasuk artis tempatan serta jurusolek.

Cabaran membawa kepada menukar wajah kepada solekan umpama 'syaitan' sehingga menimbulkan tanda tanya berhubung adakah perkara berkenaan tidak menyalahi pandangan Islam.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Kalian benar-benar akan mengikut jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan memasukinya. Kami (iaitu kalangan sahabat) bertanya: "Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda SAW menjawab: "Siapa lagi (kalau bukan mereka)?" (Hadis Riwayat al-Bukhari
dan Muslim
)

Demikian hadis jelas daripada junjungan besar Rasulullah SAW berkenaan umat akhir zaman akan banyak mengikuti perkara 'pelik' dalam kehidupan sedikit demi sedikit sehingga menjerumuskan kita pada suatu hal yang boleh merosakkan akidah.

Trend terbaru di laman sosial adalah Lathi Challenge antara lain memperlihatkan seseorang daripada tidak bersolek sehingga kepada solekan mirip menakutkan yang tertera tulisan tertentu sehingga keadaan itu mencetuskan maklum balas pelbagai daripada masyarakat umum.

Ada yang mempertikaikan bahawa ia menyalahi syarak kerana memaparkan solekan seperti syaitan dan wujud juga pendakwah yang menegur tindakan beberapa artis tempatan yang kononnya menyahut cabaran berkenaan.

Menerusi satu entri laman sosial, Pencetus Ummah Syed Bakri al-Yahya (PU Syed) menyatakan bahawa hukum
bagi cabaran itu adalah haram disebabkan beberapa faktor
dan menyalahi syarak.

PU Syed menyatakan bahawa beliau berpandangan perbuatan yang sedang tular terbabit adalah haram kerana ia menyalahi apa yang dibenarkan oleh syarak berlandaskan kepada dalil hadis bermaksud: "Barang siapa yang merintis suatu sunah (yang baik) dalam Islam, maka baginya pahala amalan yang dirintisnya itu serta (dia juga beroleh) pahala orang yang mengamalkan selepasnya dan barang siapa yang merintis suatu sunah (yang buruk) dalam Islam, maka baginya dosa amalan yang dirintisnya itu serta (dia juga beroleh) dosa orang yang mengamalkannya selepasnya." (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Daripada Ibnu Batthal berkata: Rasulullah SAW memberitahu bahawa umatnya akan mengikuti perkara-perkara baru yang mengikut hawa nafsu sebagaimana yang berlaku kepada umat sebelum mereka.

Baginda SAW sudah memberi amaran dalam banyak hadis mengenai keadaan akhir zaman yang buruk. Kiamat tidak akan berlaku kecuali kepada manusia-manusia yang buruk.

Ketika itu agama hanya dipegang oleh orang-orang tertentu. Ibnu Hajar berkata: Sesungguhnya sudah berlaku kebanyakan daripada apa yang Nabi SAW berikan amaran mengenai apa akan berlaku yang selebihnya.

Persoalan yang wajar ditanya adalah mengapa umat Islam pada hari ini begitu mudah untuk menyahut satu cabaran yang kadangkala mampu untuk menggugat akidah tanpa merenung sebentar berhubung sesuatu tindakan sebelum melakukannya.

Walaupun mungkin alasannya hanya cabaran untuk 'suka-suka' dan tidak berniat dengan perkara yang selainnya, adakah tindakan suka-suka itu mampu untuk memelihara akidah kita pada hari ini. Tepuk dada tanya iman.

Penulis adalah
wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 7:00 AM