Nur Saliawati Salberi

Melaka: Lelaki orang kurang upaya (OKU) masalah mental maut selepas motosikal roda tiga ditunggang dirempuh sebuah Proton Saga di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Baru di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 12.10 tengah malam, mangsa, Jamaludin Jais, 57, disahkan maut di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan maut membabitkan OKU berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal dijalankan mendapati OKU terbabit yang menunggang motosikal Demak dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Rambai sebelum terbabit kemalangan.

ANGGOTA polis dan orang awam cuba menarik motosikal Jamaludin yang maut dalam kemalangan di Lebuh AMJ dekat Bukit Baru.
ANGGOTA polis dan orang awam cuba menarik motosikal Jamaludin yang maut dalam kemalangan di Lebuh AMJ dekat Bukit Baru.

“Mangsa menunggang dari persimpangan lampu isyarat Bukit Piatu menghala ke Bukit Palah, namun sejurus tiba di lokasi motosikal roda tiga terbabit dirempuh Proton Saga dari arah belakang.

“Mangsa maut di lokasi kemalangan manakala pemandu Proton Saga iaitu lelaki berusia 32 pula tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Afzanizar berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar menyebabkan kematiannya.

“Setakat ini, pemandu Proton Saga terbabit tampil untuk membeli keterangan dan kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 5:45 AM