ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
Hassan Omar


Melaka: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan calon gabungan parti berkenaan esok bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

Bagaimanapun, lokasi dan waktu pengumuman masih dibincangkan antara PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Timbalan Pengerusi PKR negeri, Datuk Gue Teck berkata, Anwar dijangka mengumumkan 28 calon yang bakal membawa cabaran PH untuk mengekalkan kerusi sedia ada, selain merampas kerusi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Tempat dan waktu masih dibincangkan tetapi yang pasti ialah di Melaka, bukannya di Kuala Lumpur atau Petaling Jaya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, sumber Amanah berkata, parti berkenaan memberi mandat kepada Anwar untuk mengumumkan calon sejajar tanggungjawab diberikan kepada beliau untuk memimpin PH.

"Lebih mudah untuk mengumumkan semua calon berbanding jika diadakan mengikut parti masing-masing," katanya.

Pembahagian kerusi antara parti komponen PH bagi menghadapi PRN Melaka ialah PKR 11 kerusi dan diikuti Amanah (sembilan) dan DAP (lapan).

Kerusi ditandingi PKR kali ini adalah tujuh yang ditandingi pada PRU-14 iaitu Ayer Molek, Klebang, Sungai Udang, Tanjung Bidara, Rembia, Machap Jaya dan Rim, selain empat kerusi baharu iaitu Lendu, Paya Rumput, Asahan dan Sungai Rambai.

Kerusi ditandingi Amanah pada PRN ialah enam yang ditandingi pada PRU-14 iaitu Bukit Katil, Durian Tunggal, Taboh Naning, Serkam, Pantai Kundur dan Merlimau selain tiga kerusi baharu iaitu Ayer Limau, Telok Mas dan Kuala Linggi.

DAP pula mempertahankan kerusi Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Banda Hilir dan Bemban.

Bagaimanapun, DAP memperoleh semula kerusi Parlimen Alor Gajah untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas menyerahkannya kepada Bersatu untuk ditandingi pada PRU-14.

Pada PRU-14 DAP bertanding lapan kerusi dan menang semua.

PKR bertanding lapan kerusi tetapi hanya menang tiga, iaitu Machap Jaya, Rembia dan Klebang.

Amanah bertanding di enam kerusi tetapi hanya menang dua iaitu Bukit Katil dan Durian Tunggal.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Sekarang PH mempunyai 11 kerusi, iaitu DAP (tujuh), AMANAH (dua) dan PKR (dua) manakala BN ada 12 kerusi dan Perikatan Nasional (satu).

Selain itu ada empat bekas Adun yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan menyatakan sokongan kepada PH.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 11:12 AM