KEADAAN banjir di FELDA Tersang 1.
KEADAAN banjir di FELDA Tersang 1.
HM Digital

Raub: “Pengalaman banjir pada hujung 2015 menjadikan saya lebih beringat kerana tidak mahu menghadapi banyak kerugian,” kata Aziah Uzir, 52, mangsa banjir kilat di FELDA Tersang 2, di sini.

Menurutnya, banjir kilat kelmarin hanya merosakkan tilam, sofa dan beberapa perabot dengan kerugian dianggarkan RM5,000 berikutan sempat menyelamatkan peralatan elektronik serta barang berharga lain.

“Sejak kejadian banjir 2015, saya tidak lagi membeli peralatan rumah dalam kuantiti banyak, sebaliknya hanya beli yang penting.

“Ini kerana saya pernah kerugian lebih RM10,000 akibat banjir pada 2015 kerana air naik begitu cepat.

“Akibatnya, hampir semua barang tidak boleh digunakan hingga terpaksa dibuang,” katanya ketika di hubungi di sini, semalam.

Katanya, dia menyedari kejadian kelmarin selepas terjaga akibat hujan lebat pada jam 2.30 pagi.

“Mendengar hujan lebat, saya dan suami (Ismail Udin, 60) segera mengemas barang dengan meletakkannya di tempat tinggi.

“Pada jam 4.30 pagi, air sudah naik ke paras lutut dan semakin meningkat hingga ke paras dada dua jam kemudian, kami diselamatkan pihak berkuasa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Semai Bakti Felda Tersang 2,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, sebanyak tiga PPS dibuka di daerah itu bagi menempatkan 17 keluarga daripada 69 mangsa banjir.

“Tiga PPS itu adalah Balai raya Kampung Tersang, Masjid Jamek Kuala Semantan dan Surau RRM Cheroh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 5:24 AM