ANTARA kawasan yang dilanda banjir di Pekan, semalam. FOTO Farizul Hafiz Awang
ANTARA kawasan yang dilanda banjir di Pekan, semalam. FOTO Farizul Hafiz Awang
BERNAMA

MANGSA banjir di Pahang meningkat sedikit kepada 383 orang setakat 8 pagi, hari ini, di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 325 orang, malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusof berkata daerah Pekan mencatatkan pertambahan daripada 270 orang kepada 308 orang di lima PPS.

“Lima PPS berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Temai yang menempatkan 122 orang, Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang), Dewan Serbaguna Tanjung Pulai (39 orang), SK Acheh (34 orang) dan Pusat Pemindahan Kampung Lamir (38 orang)," katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Jumlah mangsa banjir di Raub, turut bertambah daripada 49 orang kepada 69 orang yang ditempatkan di Masjid Jamek Kuala Semantan (30 orang), Balai Raya Kampung Tersang (26 orang) dan Surau RRM Cheroh (13 orang), katanya.

Menurut beliau, dua lagi daerah kekal masing-masing mencatatkan pemindahan tiga sekeluarga di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian di Maran dan Dewan Terbuka Kampung Serau di Lipis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 10:53 AM