Pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa serangan buaya ke Klinik Kesihatan Debak, semalam.
Pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa serangan buaya ke Klinik Kesihatan Debak, semalam.
Khalid Latip


Betong: “Walaupun ditemui dalam keadaan tidak bernyawa namun kami sekeluarga bersyukur kerana doa kami agar cucu ditemui dimakbulkan Allah,” kata Mohamad Hamid, 78, datuk kepada Abang Mohamad Haikal Abang Suip yang dibaham buaya, Rabu lalu.

Mayat Abang Mohamad Haikal, 13, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jam 10.45 pagi semalam di kawasan tebing sungai yang terletak 1.5 kilometer dari lokasi dia dibaham sang bedal. Difahamkan hanya badan mangsa tanpa kepala, kaki dan tangan ditemui terapung di berhampiran Kampung Buda.

Mohamad Hamid berkata, sebaik dimaklumkan mengenai penemuan cucunya itu, mereka sekeluarga sudah berada di lokasi pusat operasi sementara dengan penuh debaran.

“Sejak semalam, kami sekeluarga mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bersama penduduk kampung bagi mendoakan agar cucu ditemui dan operasi mencarinya berjalan lancar.

“Alhamdulillah doa dan hajat kami sekeluarga dimakbulkan. Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa tapi kami reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Beliau berkata, jenazah cucunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Dit, semalam selepas selesai urusan pengecaman mayat di Klinik Kesihatan Debak.

Katanya, beliau mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit khususnya pasukan SAR dan penduduk kampung yang bertungkus-lumus memastikan mayat cucunya ditemui.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke pusat operasi sementara SAR sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Debak.

Menurutnya, operasi SAR mencari mangsa yang masuk hari kedua dimulakan jam 8.15 pagi hari ini oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan dibantu penduduk kampung.

“Mayat mangsa ditemui pasukan SAR berhampiran Kampung Buda dan dibawa ke pusat operasi sementara sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan hari ini (semalam) susulan penemuan mangsa,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, Rabu lalu, mangsa bersama rakannya memancing di tebing sungai berkenaan sebelum buaya menyambar kaki kiri mangsa dan menarik ke tengah sungai. Rakan mangsa yang terkejut dengan kejadian itu bergegas memaklumkan kepada keluarga sebelum polis dan bomba menjalankan operasi SAR keesokkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 7:54 AM