NORSHADAAN (kiri) dan Firdaus (dua dari kiri) bersama Tan (dua dari kanan)  selepas diselamatkan, semalam.
NORSHADAAN (kiri) dan Firdaus (dua dari kiri) bersama Tan (dua dari kanan) selepas diselamatkan, semalam.
HM Digital

Lumut: “Di fikiran saya ketika itu hanya mahu menyelamatkan mangsa kerana saya lihat lelaki itu terkapai-kapai.

“Namun alhamdulillah kami berjaya menyelamatkan mereka,” kata Bintara Muda Norshadaan Ab Ghani,37, penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyelamatkan seorang nelayan yang terjatuh ke dalam laut di perairan Lumut berhampiran Pangkalan TLDM, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.55 pagi, mangsa, Tan Ah Seng, 40an, diselamatkan Norshadaan bersama seorang lagi rakan setugasnya, Laskar Kanan Mohamad Firdaus Yunus, 28, dan kedua-dua mereka penyelam Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti.

Mangsa dari Pulau Pangkor dikatakan terjatuh akibat kerosakan pada stereng bot yang menyebabkan lelaki itu terhumban ke dalam laut.

Norshadaan berkata, ketika kejadian, dia sedang melakukan kerja di kapal dan melihat lelaki itu melalui kawasan berhampiran bersama botnya.

“Kira-kira seminit selepas itu saya lihat dia terjatuh dan terkapai-kapai di dalam air.

“Kami mengambil masa 20 saat untuk berenang dan menyelamatkannya,” katanya.

Sementara itu, Asisten Ketua Staf Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat Kapten Azman Rabani berkata, kejadian disedari dua anggota lain kapal yang terdengar jeritan meminta tolong dan ternampak mangsa yang jatuh ke dalam laut di lambung kanan kapal dalam jarak 30 meter.

“Anggota membuat loud alarm vocal dan petugas kuartemaster (QM) kapal yang menerima isyarat mengambil tindakan pantas mencampakkan boya penyelamat dari Geladak Tambatan dan memaklumkan kepada Pegawai Bertugas Harian (PBH).

“PBH mengarahkan dua penyelam kapal di lokasi kejadian terjun untuk menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, lelaki itu diselamatkan dan dibawa naik melalui jeti di himpitan 3/4 yang lebih sesuai berikutan keadaan arus ketika itu.

“Mangsa dibawa ke kapal serta diberikan rawatan kecemasan dan disahkan selamat sebelum dibawa pulang nelayan lain jam 12 tengah hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 9:34 AM