Suraya Roslan dan Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Seperti tahun sebelum ini, beberapa lokasi di ibu kota termasuk Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Bukit Bintang dan di depan pasar raya Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman antara lokasi tumpuan warga kota menyambut ambang tahun baru secara bersantai bersama rakan dan keluarga.

Walaupun hujan, puluhan ribu pengunjung termasuk warga asing bersesak di lokasi tumpuan itu menyaksikan persembahan hiburan, malam tadi.

Pasukan polis mengawal di sekitar kawasan KLCC untuk persediaan perkara yang tidak diingini.

Di kawasan Sogo, ratusan pengunjung mengambil kesempatan menikmati busking sebelum ambang tahun baru. Seorang kakitangan swasta, Amirul Hadi Ismail, 28, berkata, dia ke situ berikutan Dataran Merdeka ditutup dan dikawal ketat oleh polis.

“Saya dan rakan kemudian ke Sogo untuk mendengar busking sebelum ambang tahun baru,” katanya.

Sebaik detik 12 tengah malam menuju ke 2018, pekarangan KLCC sesak dengan lautan manusia menyambut ketibaan tahun baru.

Seorang pengunjung, Rosni Ahmad, 31, dari Negeri Sembilan berkata, dia membawa keluarga untuk menyaksikan kemeriahan sambutan ambang tahun baru 2018 dan pertunjukan bunga api.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 11:12 AM