SEKUMPULAN lelaki yang ditahan di port dadah di Binjai. FOTO Ihsan PDRM
SEKUMPULAN lelaki yang ditahan di port dadah di Binjai. FOTO Ihsan PDRM
Rosliza Mohamed


'PORT' menghisap dadah dalam kebun getah di Kampung Banggol Badak Mati, Pauh Lima, Binjai, Kota Bharu diserbu polis, semalam.

Dalam serbuan Op Sarang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan itu, lapan individu berusia 33 hingga 49 tahun, ditahan.

Operasi berlangsung tujuh jam bermula 4 pagi hingga 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, pihaknya juga merampas dadah disyaki heroin seberat 0.6 gram.

"Sebelum serbuan, intipan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam yang mendakwa kawasan semak di situ jadi tempat penagih dadah berkumpulan.

"Ketika anggota tiba, suspek sedang mengambil dadah dan hasil pemeriksaan menjumpai dadah jenis heroin daripada dua lelaki.

"Ujian saringan air kencing dilakukan mendapati semua suspek positif Morphine dan mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismail berkata, siasatan mendapati beberapa suspek pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama.

Katanya, 'port' itu dipercayai beroperasi awal September lalu dan menjadi pilihan penagih dadah berkumpul kerana tersorok.

"Kita akan terus menyerbu lokasi penagihan dadah dan akan tingkatkan kerjasama dengan AADK untuk tujuan ini.

"Sepanjang tahun ini, 20 ‘port’ dikesan dan sudah diambil tindakan. Ia tidak aktif lagi," katanya yang meminta masyarakat memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 4:36 PM