MOTOSIKAL YB100 milik Mohd Shahrul.
MOTOSIKAL YB100 milik Mohd Shahrul.
Zairee Mohd Yasak

Alor Gajah: “Sejak dibeli setahun lalu, saya menunggang motosikal ini setiap hari.

“Apa tidaknya saya tunggu hampir 27 tahun sebelum impian mempunyai motosikal retro ini menjadi kenyataan,” kata Mohd Shahrul Che Manshur, 32, yang gembira selepas impiannya memiliki motosikal Yamaha YB100 menjadi realiti.

Katanya, walaupun pelbagai model baru dijual di pasaran, namun dia tetap menyimpan hasrat untuk memiliki YB100 kerana mengagumi rekaannya yang dianggap sebagai klasik selain jentera itu tahan lasak.

Selain YB100 yang popular dengan panggilan motosikal ‘estet’, Mohd Shahrul turut memiliki sebuah Suzuki GP100 atau lebih dikenali sebagai ‘Jipang’ dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Pada mulanya saya hanya tumpukan perhatian pada Jipang termasuk membaiki motosikal itu kerana sudah berusia. Saya berasa amat teruja bila rakan beritahu ada individu di negeri ini mahu menjual YB100 yang sudah lama tersadai.

“Memang saya tidak menunggu lama dan terus berjumpa dengan pemilik asal yang mahu menjual YB100 itu pada harga RM2,000,” katanya ketika ditemui pada program Gadek Retro Bike Week, Gadek, di sini, semalam.

 DERETAN motosikal retro mengambil bahagian pada program Gadek Retro Bike Week.
DERETAN motosikal retro mengambil bahagian pada program Gadek Retro Bike Week.

Dia berkata, motosikal dilengkapi enjin 100 cc dua lejang itu mula dikilangkan di Jepun sekitar tahun 1970-an.

“Jentera itu mendapat jolokan motosikal estet kerana majoriti pemilik pada zaman kegemilangannya adalah kalangan pekerja estet,” katanya.

Mohd Shahrul berkata, YB 100 menjadi kurang popular selepas Yamaha memperkenalkan model DX100 pada penghujung 1970-an manakala Suzuki tampil dengan model Jipang yang lebih berkuasa.

Pembantu perubatan Angkatan Tentera Malaysia itu berkata, biarpun sudah dimamah usia, YB100 masih berfungsi dengan baik, jarang meragam selain pengguna dapat merasai penjimatan petrol yang ketara walaupun bagi perjalanan jarak jauh.

“Selepas dibeli, saya membaik pulih motosikal berkenaan dan berhabis sebanyak RM800 kerana ia sudah lama terbiar. Memang mengagumkan YB100 saya langsung tidak meragam ketika berkonvoi dari Melaka ke Kuantan, Pahang.

“Harga alat gantinya juga masih berpatutan, bergantung sama ada ia produk asli atau replika dari Taiwan. Tidak sukar nak dapatkan alat ganti kerana ia masih dijual secara meluas di pasaran tempatan,” katanya.

Menurutnya, keunikan YB100 miliknya turut menarik perhatian peminat motosikal retro ketika berkonvoi ke selatan Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 3:34 AM