Hamid (tiga dari kiri) dibantu Hadriyani (kanan) dan Ismail (dua dari kiri) menjual ayam segar selepas melancarkan Kedai Ayam dan Ikan Segar. FOTO Ramdzan Masiam
Hamid (tiga dari kiri) dibantu Hadriyani (kanan) dan Ismail (dua dari kiri) menjual ayam segar selepas melancarkan Kedai Ayam dan Ikan Segar. FOTO Ramdzan Masiam
Zulfa Mohamad


PERTUBUHAN Peladang Kebangsaan (NAFAS) mensasarkan nilai jualan ayam mencecah RM50 juta tahun ini berbanding RM30 juta tahun lalu.

Ketika ini NAFAS membekalkan dua peratus atau empat juta ekor daripada keperluan ayam seluruh negara sehari termasuk melalui kilang di Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan.

Pengurus Besar NAFAS Dr Hamid Sulaiman berkata, pihaknya melalui NAFAS Food Processing & Marketing Sdn Bhd meletakkan sasaran membekalkan empat juta ekor ayam sehari bagi memenuhi keperluan seluruh negara.

Katanya, kilang di Sungai Bakap kini mengeluarkan 12,000 ekor ayam sehari manakala selebihnya dibekalkan penternak di bawah ladang kontrak.

"Selain dikeluarkan kilang sendiri, NAFAS turut mempunyai 18 penternak yang membekalkan ayam melalui ladang kontrak, sekali gus membantu mencukupkan keperluan ayam di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kedai Ayam dan Ikan Segar di Pokok Sena, Tasek, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Pulau Pinang Datuk Ismail Umar dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang negeri, Hadriyani Ahmad.

Sempena harga promosi selama dua minggu, orang ramai boleh membeli ayam segar pada harga RM7.50 sekilogram, daging RM30 sekilogram dan ikan kembung RM10 sekilogram.

Kedai berkenaan beroperasi dari 8.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari dan produk dijual dalam keadaan segar selain produk sejuk beku.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Pulau Pinang Datuk Ismail Umar berkata, seramai 21,000 ahli PPK boleh membantu meningkatkan jualan produk segar dengan membelinya di kedai yang baru dibuka itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 7:15 PM