Suasana ketika ahli NUTP bersama guru hadir memberi sokongan kepada Cikgu Azizan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini. FOTO  Iqmal Haqim Rosman
Suasana ketika ahli NUTP bersama guru hadir memberi sokongan kepada Cikgu Azizan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendesak Kementerian Pendidikan memperkenalkan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga secepat mungkin bagi melindungi guru.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata, kod etika berkenaan akan menjadi panduan tatacara ibu bapa atau penjaga ketika berurusan dengan guru.

"NUTP kini sedang menyediakan cadangan kod etika ini dan berharap masyarakat dapat memberi lebih perlindungan kepada guru menguruskan hal disiplin dengan lebih berkesan.

“Kita mencadangkan guru disiplin diberi latihan khusus menangani masalah disiplin seperti kes berulang atau kritikal. Kita meminta kementerian untuk bersama-sama dengan NUTP memperkenalkannya,” katanya pada sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban, hari ini.

Beliau hadir memberi sokongan kepada Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan menghadapi pertuduhan mencederakan seorang murid lelaki berusia 11 tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Nilai, April lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata, kod etika itu membolehkan ibu bapa dan penjaga mempunyai garis panduan yang jelas untuk berurusan dengan guru jika tidak berpuas hati terhadap sesuatu isu.

Katanya, kod etika berkenaan akan dapat melindungi guru daripada menjadi sasaran kemarahan ibu bapa dan penjaga.

"Kita tidak melindungi guru yang bersalah, tapi dengan adanya kod etika ini, ibu bapa akan mempunyai saluran menyuarakan ketidakpuasan hati dan membantu kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian," katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Saya doakan moga dia berjaya'

Alhamdulillah, kemenangan untuk Cikgu Azizan

Hak individu untuk sokong Cikgu Azizan

'Cikgu Azizan, kami di belakang anda'

Pray for Cikgu Azizan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 1:12 PM