Noorazura Abdul Rahman


KEMENTERIAN Pendidikan tidak menghalang sekiranya warga pendidik mahu berhimpun bagi memberi sokongan kepada rakan mereka yang dihadapkan ke mahkamah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kehadiran guru ke mahkamah adalah hak individu dan peribadi mereka yang tidak bersangkutan dalam sebarang pelanggaran etika guru atau sebagainya.

"Sekiranya guru mahu berhimpun atau pergi ke mahkamah untuk beri sokongan kepada rakan mereka, itu hak mereka, ia membabitkan emosi manusia secara umumnya.

"Contohnya, jika ada seorang penduduk kampung kita dihadapkan ke mahkamah, saya pasti orang kampung akan ke sana, begitu juga jika ada ahli keluarga kita dibawa ke mahkamah, ahli keluarga dan saudara mara akan hadir," katanya kepada pemberita ketika hadir di Program WOW Hari Keluarga Wanita UMNO Padang Terap, di Dataran Tepi Sungai, Kuala Nerang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lebih 200 guru akan memberi sokongan kepada Cikgu Azizan yang bakal menghadapi perbicaraan kes mencederakan anak muridnya di Mahkamah Majistret, Seremban, Negeri Sembilan esok.

Mengikut laman sesawang www.pendidik2u.my, Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam dan mempengaruhi tiga lagi rakan lain, buli, memukul murid lain dan ponteng sekolah dengan memanjat pagar.

Sebutan kes diadakan pada 31 Oktober lalu diikuti 27 November bagi penyerahan dokumen pertuduhan manakala esok adalah perbicaraan kes.

Cikgu Azizan berdepan dengan pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika didapati bersalah boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, Mahzdir berkata, beliau tidak akan memberi komen mengenai kes Cikgu Azizan berikutan ia sudah dibawa ke mahkamah.

"Kita serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan...ini adalah kes pertama bagi kementerian," katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai tindakan seorang guru di Miri yang memuat naik status menghina umat Islam, Mahdzir menasihatkan guru supaya tidak memberi sebarang komen keterlaluan sehingga menyentuh sensitiviti kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

Beliau sudah membaca laporan terbabit dan menganggap komen itu sudah terlebih.

"Terserah kepada pihak polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengambil tindakan undang-undang dan melakukan siasatan.

"Sebagai guru kalau nak tulis sesuatu dan mahu tularkan ia, jagalah sensitiviti orang lain, jangan kita dianggap sebagai anti kepada sesuatu yang lain...ini akan menyusahkan ramai orang," katanya.

Guru terbabit tular kelmarin apabila tindakannya menulis komen di Facebook mengenai isu Baitulmuqaddis mencetuskan kata-kata berunsur penghinaan terhadap Islam.

Berita berkaitan

'Cikgu Azizan, kami di belakang anda'

Pray for Cikgu Azizan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 4:28 PM