Murni Wan Omar


MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM15,000 terhadap pengurus syarikat khidmat pengangkutan atas pertuduhan merasuah seorang pegawai berhubung pembuangan sisa pepejal di lokasi yang tidak dibenarkan.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Cheong Fook Seong, 57, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara 20 bulan jika gagal membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan RM3,000 kepada Pegawai Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lori yang dipandu Said Abdullah milik Ngan Chooi Huah Enterprise kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 71(1) akta Pengurusan Pepejal dan Pembersihan Awam.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Pegawai Penguatkuasa KP48, Tingkat 4, SWCorp Wisma UOA Pantai, Jalan Pantai Jaya di sini pada 4.30 petang, 12 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Lim Chi Chou manakala pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afiqah Abdul Razak.

Berdasarkan fakta kes, pada 11 Disember lalu, beberapa pegawai daripada SWCorp menahan lori yang membuang sisa tanah milik Ngan Chooi Huah Enterprise di lokasi tidak dibenarkan dan tidak berlesen.

Pada keesokan harinya, tertuduh pergi ke pejabat SWCorp Wilayah Persekutuan dan berjumpa dengan seorang pegawai iaitu Mohd Zaki Harry Susanto bagi membincangkan penahanan lori milik syarikat isterinya.

Dalam pertemuan itu, Mohd Zaki memaklumkan kesalahan dan hukuman yang akan dikenakan terhadap tertuduh.

Cheong bertindak mahu memberi duit kopi sebanyak RM3,000 kepada Mohd Zaki bagaimanapun ia ditolak.

Walaupun berulang kali diberi amaran, Cheong tetap mahu memberi wang itu dan Mohd Zaki menerimanya sebelum segera menahan tertuduh bersama pegawai lain serta membawanya ke pejabat SPRM untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 4:11 PM