ANGGOTA polis melihat mayat Ismail yang ditemui di belakang Masjid Jamek Paka. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA polis melihat mayat Ismail yang ditemui di belakang Masjid Jamek Paka. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


WARGA emas yang juga gelandangan, yang menjadikan Masjid Jamek Paka di Dungun untuk tidur, ditemui meninggal dunia di belakang masjid terbabit, pagi hari ini.

Mayat Ismail Puteh, 70, itu ditemui orang ramai yang kebetulan melalui kawasan berkenaan pada 9.50 pagi

Anak saudara mangsa, Saufi Isa, 39, berkata, dia bergegas ke lokasi selepas mendapat tahu mengenai penemuan mayat warga emas di kawasan masjid itu.

"Selepas dimaklumkan, saya segera ke lokasi dan mengesahkan mayat ditemui itu adalah bapa saudara saya berdasarkan kain pelikat dipakainya.

"Berdasarkan keadaan mayat yang ditemui itu, saya percaya arwah bapa saudara meninggal dunia kurang daripada 12 jam," katanya.

Saufi berkata, bapa saudaranya memang sendirian dan menjadikan kawasan masjid itu untuk dia tidur kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga yang lain.

Menurutnya, arwah adalah seorang yang pendiam dan dia juga dikenali penduduk di sekitar kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat warga emas berkenaan.

Menurutnya, mayat lelaki itu sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat bagi membantu mengenal pasti punca kematiannya.

"Berdasarkan siasatan awal, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazahnya akan diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian selepas selesainya proses bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 2:25 PM