ANAK-anak arwah Norman vokalis kumpulan Panji menyiram air di pusara ayah mereka yang dikebumikan di tanah perkuburan islam Syed Yahaya, Jalan Nibong, hari ini. FOTO Rosli Ilham
ANAK-anak arwah Norman vokalis kumpulan Panji menyiram air di pusara ayah mereka yang dikebumikan di tanah perkuburan islam Syed Yahaya, Jalan Nibong, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


JENAZAH vokalis kumpulan Panji, Mohd Nor Husin, 55, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Jalan Nibong, Dungun, 12 tengah hari tadi.

Allahyarham Mohd Nor atau lebih dikenali Norman yang popular dengan lagu Sayap Terluka, dikafankan di rumahnya di Jalan Lembah Sungai Buaya dan kemudian dibawa ke Masjid Padang Jambu untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan terbabit.

Norman yang menghidap penyakit misteri disahkan meninggal dunia di rumahnya, kira-kira 7.45 malam tadi dan sepatutnya dikebumikan kira-kira 10 pagi ini.

Bagaimanapun, hujan lebat menyebabkan pengebumian terpaksa ditangguh seketika.

Kira-kira 200 ahli keluarga dan sahabat handai termasuk pemain bass kumpulan Panji, Hishamuddin Hassan, 45, hadir pada majlis pengebumian itu.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, dia sangat sedih atas pemergian arwah yang masih aktif membuat persembahan sebelum diserang penyakit misteri.

"Saya bersama pemain drum, Wan Roszi Wan Wan Abdul Razak dan arwah Norman adalah tiga anggota Panji yang masih kekal serta aktif membuat persembahan.

"Kehilangan Norman sangat kami rasai, lebih-lebih lagi dia banyak mengajar kami untuk terus kukuh bersama kumpulan ini sejak album pertama pada 1993 hingga penghujung nyawanya," katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia menemui Norman pada 23 November lalu ketika melawatnya dan menyerahkan sumbangan sebanyak RM2,000 hasil kutipan konsert amal sempena Pesta Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

"Saya sangat sedih melihat keadaan arwah ketika itu yang kurus dan tidak bermaya. Apa yang menyedihkan apabila Norman memaklumkan dia sudah tiada harapan untuk sembuh.

"Saya memberi kata-kata semangat supaya dia kuat dan sedaya upaya mengubati penyakitnya itu tapi ternyata Allah SWT lebih sayangkannya," katanya.

Berita berkaitan:

Vokalis Panji meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 2:36 PM