Antara contoh RMMJ iaitu Projek Denai Nusantara yang dibangunkan di Iskandar Puteri, Johor. FOTO arkib NSTP
Antara contoh RMMJ iaitu Projek Denai Nusantara yang dibangunkan di Iskandar Puteri, Johor. FOTO arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


KERAJAAN negeri akan mencari kaedah terbaik memastikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) diagihkan kepada golongan benar-benar layak menerimanya.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu itu perlu ditangani bagi memastikan tiada pihak 'memperdagangkan' kediaman subsidi itu kepada orang luar.

"Ramai mempersoalkan proses pengagihan RMMJ, selain menunjukkan lot kediaman itu 'for rent' (untuk disewa).

"Maknanya orang itu (orang yang menerima RMMJ) memperniagakan kediaman diberikan sedangkan rumah itu bersubsidi," katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Taman Sierra Perdana, Masai, Pasir Gudang, hari ini.

Terdahulu seramai 296 pemilik unit kediaman menerima kunci masing-masing dan ia projek pembinaan Syarikat Shiya Sdn Bhd di atas tanah lot di Taman Sierra.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Shiya, Datuk Abdullah Yusup.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri boleh menarik semula rumah RMMJ yang diserahkan sekiranya perlu, bergantung kepada syarat perjanjian pada masa akan datang.

"Kalau dapat tetapi disewakan pasti ramai orang marah kerana seolah-olah kerajaan menjadikan pengagihan rumah kepada orang tidak layak, padahal yang nak ramai.

"Kalau dia tidak duduk, kita berhak rampas rumah itu, mungkin kita bayar balik perbezaan harganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 3:23 PM