ANTARA pusat refleksologi yang beroperasi di pusat Komersial Api-Api, Kota Kinabalu.
ANTARA pusat refleksologi yang beroperasi di pusat Komersial Api-Api, Kota Kinabalu.
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Sindiket pelacuran dipercayai menjadikan sebuah bangunan komersial di pusat bandar raya ini sebagai lokasi untuk menempatkan wanita warga asing yang dibawa masuk ke negeri ini bagi bekerja sebagai pelacur.

Kebanyakan daripada mereka dipercayai dibawa masuk dari Filipina, Indonesia dan China dan ditempatkan di apartmen di bangunan berkenaan untuk tempoh tertentu. Sepanjang tempoh berkenaan, wanita terbabit akan bekerja sebagai tukang urut sambil menawarkan khidmat seks di premis rumah urut dan pusat refleksologi di bangunan berkenaan.

Pada masa sama, wanita itu turut memenuhi tempahan daripada pelanggan luar seperti tetamu hotel di sekitar bandar raya ini, termasuk golongan ‘berduit’ yang menginap di penginapan berstatus lima bintang. Bagi memudahkan pergerakan termasuk menghantar wanita ini bertemu pelanggan, ahli sindiket dipercayai tidak menggunakan kenderaan baru atau mewah.

Sebaliknya, mereka dikatakan lebih gemar menggunakan kereta daripada model lama termasuk jenama tempatan untuk mengelak aktiviti itu dikesan pihak berkuasa.

Wartawan Harian Metro yang membuat tinjauan di bangunan berkenaan mendapati aktiviti pelacuran ini bermula jam 5.30 petang hingga pagi keesokkan harinya. Ini jelas dapat dilihat apabila terdapat lebih 30 premis rumah urut dan pusat refleksologi di bangunan yang mempunyai kira-kira empat blok itu.

Apa yang menghairankan aktiviti berkenaan berlaku di bangunan komersial yang terletak di pusat bandar raya dan menjadi tumpuhan awam dan pelancong dari dalam dan luar negara.

Bahkan, kebanyakan penghuni di kawasan berkenaan sudah lali dengan aktiviti berkenaan, malah melihat perkara itu bukan perkara yang asing. Seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Hesum, 33, berkata, amat mudah untuk melanggan pelacur di kawasan bangunan berkenaan.

Katanya, kebanyakan lelaki yang mahu mendapatkan khidmat seks sudah sedia maklum bahawa bangunan itu menjadi ‘lubuk’ kepada aktiviti pelacuran di negeri ini.

“Terdapat banyak pilihan wanita ditawarkan oleh sindiket berkenaan sama ada Filipina, Indonesia dan China. Jika tidak tahu nombor telefon pun, mereka boleh berkunjung ke premis rumah urut dan pusat refleksologi di bangunan berkenaan. Tak perlu nak tempah hotel,” katanya.

Katanya, dia sendiri pernah mencuba melanggan pelacur yang ditempatkan di bangunan berkenaan.

“Saya hanya perlu menghubungi nombor telefon yang diberi rakan mengatakan di kawasan berkenaan menawarkan khidmat pelacur. Panggilan saya disambut oleh seorang lelaki dikenali sebagai ‘Ben’. Dia menawarkan pelbagai wanita Filipina dengan harga perkhidmatan antara RM200 hingga RM260 untuk setiap kali seks.

“Tanpa cakap banyak, Ben bersetuju untuk menghantar dua atau tiga gadis Filipina ke hotel tempat saya menginap. Ia untuk membolehkan saya membuat pilihan,” katanya.

Lelaki itu berkata, dia tidak perlu menunggu lama apabila tiga wanita Filipina muncul di bilik hotelnya, dalam masa sejam.

Menurutnya, harga khidmat seks yang ditawarkan oleh ahli sindiket ini bergantung kepada wanita yang dipilih.

“Kebiasaannya, wanita-wanita ini dihantar pemandu ke hotel tempat pelanggan menginap. Sebaik selesai...mereka akan diambil oleh orang yang sama,” katanya.

Seorang lagi pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Ron, 20-an berkata, dia pernah melanggan wanita yang ditempatkan di bangunan berkenaan, pada awal tahun ini.

Katanya, ia selepas dia perlu menyediakan wanita terbabit untuk melayan rakan penigaannya yang datang dari Kuala Lumpur.

“Awal-awal lagi, rakan saya mahukan wanita Filipina... mahu tidak mahu, saya terpaksa menghubungi nombor ‘bapa ayam’ yang diberikan oleh seorang rakan. Dia mahukan wanita Filipina sepanjang bercuti di Kota Kinabalu. Akhirnya, saya mendapatkan seorang wanita Filipina yang menawarkan khidmat seks pada harga RM250,” katanya.

Menurutnya, lelaki dari luar negeri ini sudah tahu bahawa mudah untuk mendapatkan pelacur asing, pada harga murah.

“Apa taknya, wanita yang bekerja sebagai pelacur terutamanya dari Filipina bukan saja cantik, muda, kurus dan ada yang masih dara. Saya tidak tahu siapa yang menghantar pelacur itu ke hotel tempat rakan saya menginap...tetapi apa yang saya pasti, mereka memang tinggal di bangunan berkenaan,” katanya.

Ron berkata, ada juga ahli perniagaan yang mahukan pakej lengkap iaitu wanita social escort yang menemani mereka sepanjang berada di Sabah.

“Untuk khidmat ini, pelanggan tidak kisah untuk membayar antara RM1,000 sehingga RM2,500 semalam. Dengan jumlah itu, wanita ini bukan saja memberi layanan seks, tetapi juga menemani pelanggan untuk makan malam dan berkaraoke. Bagaimanapun, wanita yang ditawarkan juga bukan calang-calang kerana semuanya pandai melayan lelaki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 10:07 AM