Beberapa anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Meranti, Pasir Mas bersama anggota Bomba dan Penyelamat membantu menyelamat mangsa banjir membabit 15 kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti. (Gambar kecil) Abdul Hadi. FOTO Syamsi Suhami
Beberapa anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Meranti, Pasir Mas bersama anggota Bomba dan Penyelamat membantu menyelamat mangsa banjir membabit 15 kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti. (Gambar kecil) Abdul Hadi. FOTO Syamsi Suhami
Muhamaad Razis Ismail


“PAK CIK buat ikhlas atas dasar tanggungjawab kepada penduduk di sini,” kata Abdul Hadi Omar, 64, Ketua Skim Rondaan Sukarela (SRS) Meranti, Pasir Mas yang aktif membantu mangsa banjir di kawasan itu.

Setiap kali banjir, 15 kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti ditenggelami air dan dia antara yang sibuk membantu memindahkan mangsa selain pasukan keselamatan.

Antara tugas yang dilakukannya ialah membantu membawa mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) menggunakan bot dibekalkan pemimpin setempat dan menjadi penunjuk arah kepada pasukan penyelamat yang jalankan operasi menyelamat.

Abdul Hadi berkata, dia sudah lakukan tugas itu sejak 15 tahun lalu kerana Meranti adalah lokasi wajib banjir setiap tahun.

"Disebabkan pengalaman dan mengetahui selok-belok kawasan ini selain pak cik juga mengenali rapat penduduk, maka bantuan dihulurkan jadi lebih mudah.

“Ia juga melancarkan urusan memindahkan mangsa apabila pak cik bantu menunjuk arah kepada pasukan penyelamat. Ibarat pemudah cara juga.

“Lagipun di kawasan ini agak mencabar kerana selain air deras, terdapat juga pukat, pokok getah dan saliran konkrit yang mungkin tidak diketahui mereka yang tidak biasa,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sebulan sebelum tiba musim tengkujuh, dia akan bersama anggota SRS turun padang untuk memeriksa laluan selamat yang boleh digunakan jika banjir.

Katanya, inisiatif itu diambil atas dasar tanggungjawab memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Sebelum buat, pak cik rujuk dulu pihak berkuasa kerana tidak mahu kejadian buruk terjadi,” katanya yang sudah membantu lebih 60 mangsa banjir berpindah semalam.

Tugas dilakukan secara sukarela itu tidak mengharapkan balasan daripada mana-mana pihak melainkan mahu penduduk selamat.

“Kalau boleh pak cik tidak mahu gembar-gemburkan sangat apa yang dilakukan ini kerana semua yang dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Pak cik bimbang orang kata riak.

"Pak cik percaya, rezeki itu mungkin Tuhan akan bagi dalam bentuk lain termasuk kesihatan, anak yang baik dan sebagainya. Itulah prinsip yang pak cik pegang sejak dulu lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 12:15 PM