KAKITANGAN Pos Malaysia menunjukkan setem dikeluarkan Pos Malaysia  di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Dayabumi.
KAKITANGAN Pos Malaysia menunjukkan setem dikeluarkan Pos Malaysia di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Dayabumi.
Norhadiani Baharom

yanie@@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Setem 150 Tahun Negeri-Negeri Selat - Keluaran Kekal adalah satu koleksi yang harus dimiliki pengumpul tegar setem dan akan dikeluarkan Jumaat ini dan mula dijual pada 4 Disember.

Pengeluaran kembali edisi pertama setem Tanah Melayu itu, juga dilihat sebagai salah satu tarikan acara tahunan Minggu Setem anjuran Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang akan diadakan bermula 4 hingga 10 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata keluaran siri setem Negeri-Negeri Selat ini adalah untuk mengimbau sejarah 150 Tahun Setem Negeri-Negeri Selat dan setem pertama di Tanah Melayu.

Dua produk filateli lain seperti Sampul Surat Hari Pertama (SSHP), termasuk risalah percuma, berharga 55 sen setiap satu dan Lembaran Mini (LM) yang menampilkan pelbagai jenis setem turut dijual pada harga RM5 setiap satu. Tanda pembatalan untuk koleksi setem kali ini adalah reka bentuk setem pertama Negeri-Negeri Selat dan dikelilingi oleh perkataan Setem Negeri-Negeri Selat.

“Setem India diguna pakai oleh kawasan jajahan British di bawah Syarikat India Timur (SIT) sebelum adanya Negeri-Negeri Selat. Justeru itu apabila Pulau Pinang, Melaka dan Singapura berada di bawah pentadbiran pusat di London, koleksi setem baharu dihasilkan bagi memperkenalkan kawasan baru ini.

“Maka setem Negeri-Negeri Selat dan setem tempatan digunakan bersama untuk penghantaran surat daripada kawasan British Malaya, British Borneo, Brunei serta kepulauan-kepulauan Christmas dan Cocos,” katanya semasa sesi prebiu setem itu, semalam.

Terdahulu, Pos Malaysia pernah mengeluarkan koleksi Setem Ulang Tahun ke-100 pada Disember 1967 serta siri setem 150 Tahun Negeri-Negeri Selat – Keluaran Sementara pada September 2017. Kedua-dua SSHP (20,000 keping) dan LM (25,000 keping) dijual pada harga RM5.85 setiap satu.

Setem 150 Tahun Negeri-Negeri Selat - Keluaran Kekal, adalah salah satu daripada siri setem didik hibur. Manakala sebuah lagi dinamakan sebagai “Aktiviti Percutian Kanak-Kanak”.

MOHD Shukrie  menunjukkan  Setem 150 tahun Negeri-negeri Selat - Keluaran Kekal  dan Aktiviti Percutian Kanak-kanak bersempena Minggu Setem pada sidang media di Ibu Pejabat Pos Kuala Lumpur.
MOHD Shukrie menunjukkan Setem 150 tahun Negeri-negeri Selat - Keluaran Kekal dan Aktiviti Percutian Kanak-kanak bersempena Minggu Setem pada sidang media di Ibu Pejabat Pos Kuala Lumpur.

Menariknya mengenai siri setem “Aktiviti Percutian Kanak-Kanak”, Pos Malaysia bekerjasama dengan LEGOLAND Malaysia Resort memilih rekaan watak dari LEGOLAND pada reka bentuk setem.

Siri ini mempunyai enam reka bentuk setem bernilai 60 sen dan memaparkan aktiviti percutian seperti Berkelah, Aktiviti Air, Masa Berkualiti, Bersiar-Siar, Riadah serta Aktiviti Ekstrem.

Hanya 215,000 keping bagi setiap reka bentuk dicetak, manakala sebanyak 30,000 keping Sampul Surat Hari Pertama (SSHP), bernilai 55sen beserta risalah percuma dan 1,800 keping folder turut dijual bagi melengkapkan koleksi siri setem ini. Manakala set lengkap siri ini boleh didapati dengan harga RM48.85 setiap satu.

Menurut Mohd Shukrie, kolaborasi Pos Malaysia dan LEGOLAND menitik-beratkan konsep pembelajaran melalui aktiviti permainan bersama kanak-kanak. Selain itu, hobi mengumpul setem membangkitkan nostalgia kepada ibu bapa dan anak-anak mereka.

“Untuk meraikan keluaran pertama siri setem LEGOLAND di dunia, LEGOLAND Malaysia menawarkan baucar Kids Go Free beserta brosur percuma dengan setiap pembelian SSHP satu set lengkap siri setem ini. Pelanggan akan mendapat satu tiket percuma bagi kanak-kanak dengan setiap pembelian tiket dewasa. Tempoh sah promosi istimewa ini adalah sehingga 30 Jun 2018,” katanya.

Sempena musim cuti sekolah yang lalu, Pos Malaysia pernah mengeluarkan siri bertemakan aktiviti permainan dan hobi kanak-kanak seperti Permainan Tradisi Masa Senggang bersama Upin & Ipin serta Rakan-Rakan pada Disember 2010 dan Tema Kanak-Kanak (Hobi) – Boboiboy pada November 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 8:50 AM