Harris Irman Sharipudiin menunaikan janji dengan membotakkan kepalanya selepas SK Sri Melor mencapai sasaran dalam UPSR. FOTO Nor Amalina Alias
Harris Irman Sharipudiin menunaikan janji dengan membotakkan kepalanya selepas SK Sri Melor mencapai sasaran dalam UPSR. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina

SEORANG guru besar menunaikan janji dengan membotakkan kepala selepas sekolahnya melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), yang diumumkan hari ini.

BH Online melaporkan Harris Irman Sharipudiin, 46, berkata beliau bernazar untuk membotakkan kepala bagi memberi semangat kepada 134 calon UPSR yang menduduki peperiksaan di Sekolah Kebangsaan Sri Melor, di Kota Bharu.

Katanya, beliau sangat gembira apabila sekolahnya berjaya mencapai sasaran meskipun terpaksa kehilangan rambutnya.

"Saya akui tidak dapat tidur malam tadi kerana rasa berdebar-debar namun gembira kerana akhirnya sekolah ini berjaya mencipta kejayaan dalam UPSR tahun ini," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, hari ini.

Bagi menunaikan janjinya itu, 11 murid sekolah berkenaan memotong rambut Harris dengan disaksikan lebih 250 murid dan ibu bapa.

Harris yang menjadi pendidik sejak 1992, berkata tindakan itu dibuat bagi mencipta kelainan dalam sambutan keputusan UPSR selain mahu SK Sri Melor menjadi antara sekolah luar bandar terbaik di Kelantan.

"Ini simbolik bahawa jika ada sasaran, kita akan berjaya capai selain saya mahu jadi contoh di mana kejayaan akan dapat dicapai hasil kesepakatan dan semangat kekeluargaan antara guru, pentadbir dan murid," katanya yang juga anak jati Kampung Kukang, Perol, Peringat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 4:15 PM