WARGA MRSM Sungai Besar mengangkat jenazah Allahyarham Khairul Anuar.
WARGA MRSM Sungai Besar mengangkat jenazah Allahyarham Khairul Anuar.
HM Digital

Sabak Bernam: “Arwah (Khairul Anuar) sempat menanda kertas peperiksaan subjek Fizik lebih awal Sabtu lalu selain berkongsi analisa di Facebook (FB). Tidak sangka itu petanda dia pergi buat selama-lamanya,” kata Amirul Hadi Jamaludin, 31.

Amirul Hadi sahabat baik Khairul Anuar Salim, 30, meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Terusan Utama Parit Empat, Sungai Besar, awal pagi semalam.

Ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di sini, Amirul Hadi berkata, tindakan Khairul Anuar yang juga seorang guru menanda kertas peperiksaan dengan pantas menimbulkan tanda tanya kepadanya dan rakan lain.

“Biasanya arwah tidak suka berkongsi hal peribadi dalam laman sosial malah lebih suka bercerita kepada saya dan dua lagi rakan.

“Apabila arwah menulis status itu di FB, tidak terdetik perkara buruk dalam hati sehingga dimaklumkan rakan sekerja hari ini (semalam) yang memaklumkan arwah sudah tiada,” katanya.

Amirul Hadi berkata, arwah mengajar subjek Fizik disifatkan seorang yang ceria dan periang selain disayangi warga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar.

“Sepatutnya, hari ini (semalam), arwah ditugaskan mengumpul pelajar peringkat menengah bagi pertandingan debat bahasa Melayu di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor pada 23 November ini.

“Malah, arwah turut dilantik sebagai hakim Pertandingan Debat Peringkat Kebangsaan MRSM Semalaysia yang pertama kali diadakan di maktab ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun sibuk dengan pelbagai tugas, arwah yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu turut mengorbankan masa hujung minggu dengan berulang alik ke kampung bagi menziarahi ibunya yang sakit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 6:10 AM