Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid. FOTO arkib NSTP
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Pendidikan menafikan dakwaan guru menjadi punca kegagalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang baru tiga tahun dilaksanakan sebaliknya kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan itu disalah tafsir.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KBAT baru dilaksanakan di mana guru juga dilatih dari semasa ke semasa sebagai satu transformasi dalam pendidikan.

Menurutnya, tidak timbul soal kegagalan KBAT itu berpunca daripada guru kerana secara keseluruhannya ia membabitkan semua lapisan masyarakat.

“Saya tengok balik kenyataan dan baca sepenuhnya, bukan Kamalanathan sebut kegagalan daripada guru kerana apa yang berlaku membabitkan masyarakat secara keseluruhannya.

“Jadi tidak betul kenyataan dibuat itu yang kemudian di ‘spin' seolah-olah Timbalan Menteri Pendidikan membuat kenyataan kegagalan KBAT adalah kerana guru.

“Ayat itu pun tak berapa kena...jadi saya nak perbetulkan sedikit di mana kita nak mendekati lagi masyarakat bukan saja murid di sekolah, ibu bapa dan semua termasuk NGO (pertubuhan bukan kerajaan) supaya semua sekali akhirnya kena faham apa yang disebut KBAT," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Liga Piala Ahli Parlimen Padang Terap, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kamalanathan di Dewan Rakyat baru-baru ini yang disalah tafsir portal berita seolah-olah menyalahkan guru menjadi punca kegagalan KBAT.

Malah Kementerian Pendidikan turut dipersalahkan beberapa pihak susulan laporan yang disalah tafsir itu termasuk Ahli Parlimen Kapar G Manivannan yang mendakwa sistem dan dasar pendidikan tidak ditambah baik menjadi punca kegagalan itu.

Mengulas mengenai dakwaan Manivannan itu, Mahadzir berkata, KBAT bukanlah program sebaliknya ia adalah satu kaedah berfikir yang dimasukkan dalam pengajaran di sekolah.

"Maknanya kita mengajar murid cara berfikir di mana ia memerlukan satu proses panjang yang diletakkan di bawah pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

"Dalam transformasi pendidikan ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) semasa membuat KBAT pada 2010 dan diumumkan kepada rakyat 2013, beliau mahu ada anjakan dalam soal pemikiran kanak-kanak dengan memasukkan elemen KBAT," katanya.

Beliau berkata, tidak timbul isu setiap kali menteri bertukar dasar pendidikan turut bertukar kerana apa yang dibuat itu sambungan daripada dibuat Perdana Menteri.

"Jadi tidak timbul isu bila saya ambil alih kita nak ubah sebaliknya cuma nak tingkatkan kualiti guru dan tingkatkan KBAT ini," katanya.

Terdahulu pada perlawanan itu, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Naka muncul juara menewaskan PDM Lubok Merbau 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 8:24 PM