GELANDANGAN berusia 51 tahun ditemui meninggal dunia akibat serangan jantung di dobi layan diri di Jalan Mersing, Kluang, semalam. FOTO Ihsan PDRM
GELANDANGAN berusia 51 tahun ditemui meninggal dunia akibat serangan jantung di dobi layan diri di Jalan Mersing, Kluang, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


GELANDANGAN berusia 51 tahun ditemui meninggal dunia akibat serangan jantung di dobi layan diri di Jalan Mersing, Kluang, 12.05 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, mangsa dikenali sebagai Mohamad Alwi Chong, ditemui dalam keadaan wajahnya tersembam ke lantai manakala kakinya tersangkut pada kerusi panjang di premis berkenaan.

“Maklumat dari saksi memberitahu mangsa sering kelihatan di kedai berkenaan untuk berehat dan kadangkala mangsa tidur di kedai terbabit.

“Semasa kejadian tiada orang awam yang keluar masuk atau mencuci baju. Kejadian disedari oleh saksi apabila melihat mangsa dalam keadaan tertonggeng.

“Saksi yang juga pekerja kedai perabot berhampiran menghubungi ambulans dan mayat dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang dan kematian disahkan akibat serangan jantung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, terdapat kesan kecederaan luaran iaitu pipi lebam dipercayai akibat tersembam di lantai manakala tiada kecederaan lain atau unsur jenayah berlaku pada tubuh badan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 11:08 AM