Seorang pengawas peperiksaan mengawasi calon yang menduduki peperiksaan SPM di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini. Foto SYAFIQ AMBAK
Seorang pengawas peperiksaan mengawasi calon yang menduduki peperiksaan SPM di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini. Foto SYAFIQ AMBAK
Zatul Iffah Zolkiply

TUJUH daripada 20,526 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 di negeri ini menduduki peperiksaan itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, hari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Terengganu Bazlan Abd Rahman berkata, keadaan itu disebabkan mereka berdepan masalah kesihatan seperti kemalangan, sakit belakang dan denggi.

"Daripada jumlah itu, seramai 20,517 calon menduduki SPM 2017 di 172 pusat peperiksaan membabitkan 1,377 petugas.

"Ia membabitkan 18,642 calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, 770 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 77 calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 110 calon swasta, 927 calon persendirian dan 73 adalah calon Berkeperluan Khas (CBK)," katanya ketika mengadakan lawatan di HSNZ Kuala Terengganu, di sini.

Dalam perkembangan sama, Bazlan berkata, seorang daripada 5,069 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) turut menduduki peperiksaan itu di hospital sama.

Katanya, seramai 304 petugas memantau peperiksaan berkenaan.

"Mengenai persiapan banjir, kita sentiasa bersedia memandangkan Terengganu berisiko menghadapi bencana itu.

"Setakat ini, kita tidak menerima laporan mengenai banjir namun sekiranya berlaku, tindakan segera akan diambil termasuk memindahkan pusat peperiksaan atau menggunakan khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghantar calon ke sekolah.

"Sebagai contoh, tahun lalu, kita menggunakan khidmat ATM untuk membawa pelajar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kemunting Kuala Nerus berikutan laluan di kawasan itu dinaiki air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 11:48 AM