Noorazura Abdul Rahman

SEBANYAK 190 daripada 1,100 permit nelayan laut dalam dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dibatalkan setakat ini selepas pemiliknya didapati melanggar syarat dengan menyewakannya kepada nelayan asing.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kementerian tidak teragak-agak membatalkan permit penangkapan ikan nelayan tempatan sekiranya melakukan kesalahan itu.

"Kerajaan tidak benarkan permit ini disewa, itu bukan tujuan kita, saya harap puak-puak ini berhentilah daripada melakukan perbuatan tak bertanggungjawab, sekiranya tak mampu atau tidak berminat, serahkan kembali permit.

"Kalau tak mahu serah juga, Jabatan Perikanan akan ambil tindakan untuk tarik balik permit tapi bila kita batal permit jangan pula kata kerajaan kejam kerana mereka sendiri yang salah guna sehingga memberi kesan kepada pendaratan ikan dalam negara,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan BH hari ini mengenai sindiket asing merompak hasil laut negara berikutan terdapat nelayan tempatan yang menyewakan permit kepada syarikat perikanan asing.

Hampir satu juta tan atau kira-kira 50 peratus ikan yang ditangkap di perairan negara ini bernilai RM3 billion hingga RM6 billion 'ghaib' setiap tahun dipercayai dilarikan ke negara jiran.

Sehubungan itu, Tajuddin menasihatkan nelayan menggunakan permit yang dikeluarkan sebaik mungkin berikutan kegiatan menyewa permit kepada syarikat asing tidak menguntungkan mereka malah turut merugikan negara.

"Tidak seberapa pun yang mereka dapat berbanding mereka sendiri yang turun ke laut, gunakan dengan betul permit yang kerajaan beri.

"Negara kita ada undang-undang, jika langgar syarat lesen, kita akan batalkan, jika langgar syarat Akta Perikanan kita mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun atau membawa kes ke mahkamah,"katanya.

Terdahulu, Tajuddin menyerahkan pelbagai bantuan kepada nelayan negeri ini dalam Program Penyerahan Bantuan Nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Kedah di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 4:35 PM