ANGGOTA polis menggunakan mesin EBA untuk mengesan kadar alkohol dalam nafas pemandu.
ANGGOTA polis menggunakan mesin EBA untuk mengesan kadar alkohol dalam nafas pemandu.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: “Hampir setiap hari ada pemandu mabuk ditahan di ibu kota dan sebanyak 661 ‘kaki botol’ diambil tindakan atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sejak Januari lalu,” ujar Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussein.

Beliau yang secara rasminya menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (STAGG), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, bermula hari ini sempat diwawancara Harian Metro berhubung aktiviti pemanduan dalam keadaan mabuk di ibu kota ini, semalam.

Menurutnya, dalam tempoh Januari hingga 24 Oktober lalu, sebanyak 661 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 45a Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan dengan paras alkohol dibenarkan.

“Sebanyak 33 kertas siasatan pula dibuka mengikut Seksyen 45b APJ 1987 iaitu kandungan alkohol dalam pernafasan dan 333 lagi mengikut Seksyen 45c akta yang sama iaitu keengganan memberikan kerjasama untuk menjalani ujian pernafasan.

“Mengikut Seksyen 45c, sampel darah dan air kencing pemandu mabuk ini akan diambil sebelum dihantar ke Jabatan Kimia dan selepas keputusan ujian diperoleh, mereka akan dituduh di mahkamah,” katanya.

Katanya, kebiasaannya, mereka yang dituduh mengikut Seksyen 45c adalah pemandu yang gagal menjalani ujian pernafasan menggunakan alat SDII di lokasi kejadian ketika pemeriksaan awal.

“Jika gagal pemeriksaan awal, mereka akan dibawa ke balai JSPT KL untuk pemeriksaan lanjut sebelum diperiksa semula dengan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) untuk mengesahkan kandungan alkohol dalam badan.

“Mesin EBA akan mengeluarkan slip bacaan alkohol yang boleh digunakan untuk tujuan pendakwaan di mahkamah. Jika pemandu berkenaan gagal menjalani kedua-dua ujian, baru sampel darah dan ujian air kencing ini diambil,” katanya.

Beliau berkata, ada juga pemandu yang sengaja enggan memberi kerjasama ketika ujian pernafasan ini diadakan dengan sangkaan boleh bebas daripada tindakan undang-undang namun mereka silap kerana ada tiga tahap pemeriksaan yang mampu dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Mohd Nadzri berkata, hanya pemandu yang mempunyai kandungan alkohol dalam nafas melebihi 80 miligram (mg) akan diambil tindakan atau menjalani pemeriksaan lanjut menggunakan mesin EBA.

Beliau berkata, pengambilan minuman beralkohol atau arak dikenal pasti antara punca kemalangan jalan raya yang tertinggi di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 6:18 AM