Wisma Tok Guru yang kontroversi. (Gambar kecil) Mohd Nassuruddin.
Wisma Tok Guru yang kontroversi. (Gambar kecil) Mohd Nassuruddin.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


PAS memberi amaran kepada Parti Amanah Negara (PAN) supaya mengosongkan Wisma Tok Guru dalam tempoh yang ditetapkan sebelum tindakan lanjut diambil termasuk diusir.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, PAN diberi tempoh untuk mengosongkan bangunan sebelum 16 November depan.

Katanya, sekiranya pihak terbabit tidak keluar, perkara itu akan dibawa ke mahkamah.

"Perkara itu sudah jelas kerana tanah terbabit milik ahli PAS dan kita tunggu hingga 16 November depan.

"Kita tidak gentar dan sekiranya mereka membawa kes itu ke mahkamah, kita akan lawan.

"PAS yakin PAN akan mengosongkan bangunan terbabit dalam tempoh yang ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, selepas bangunan itu diambil alih, wisma terbabit akan dijadikan sebagai pusat kegiatan PAS termasuk lokasi ceramah.

Akhbar Isnin lalu melaporkan, Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor, di sini, menjadi perebutan di antara PAS dan PAN hingga menimbulkan kekecohan kedua-dua parti.

Bagaimanapun, kekecohan berkenaan dileraikan pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:12 PM