Jenazah Dayang Munisah, dibawa keluar dari hospital selepas maut dalam kemalangan di Jalan Kanibongan Pitas, di Kota Marudu. FOTO IZHARI ARIFFIN
Jenazah Dayang Munisah, dibawa keluar dari hospital selepas maut dalam kemalangan di Jalan Kanibongan Pitas, di Kota Marudu. FOTO IZHARI ARIFFIN
Junaidi Ladjana dan Razik Zayat

SEORANG bapa tidak dapat melupakan kata-kata terakhir anaknya yang meninggal dunia selepas Toyota Avanza dinaiki sembilan pelajar terbabas di Jalan Kanibongan, Pitas, Kota Marudu, hari ini.

Eyon Anggis, 67, berkata, pada pertemuan terakhir pada 15 Oktober lalu, anaknya, Dayang Munisah Eyon, 18, memberitahu terpaksa menunggu lama untuk kembali bertemunya.

"Ketika itu, dia hendak balik ke asrama di Kanibongan. Kebiasaannya, Dayang salam saya, tetapi, saya pelik apabila dia bukan saja salam, malah cium dan peluk saya

"Selepas masuk ke dalam kereta, Dayang keluar semula lalu peluk sambil cium saya. Saya menangis dan dia sempat berkata 'mungkin lama baru saya jumpa ayah’," katanya.

Dalam kejadian itu, selain Dayang Munisah, tiga pelajar lain yang meninggal dunia adalah Evi Elsie Jukirim, 18; Rebecca Stacey Saimon, 16, dan Sweeta Kongkoyan, 18.

Pelajar lelaki yang parah adalah Mikhievinlee Lotijin, 18, dan kini dirawat di Hospital Queen Elizebeth 1, Kota Kinabalu.

Empat lagi pelajar lelaki lain cedera.

Eyon yang juga pesara kerajaan berkata, Dayang Munisah, anak kelima daripada enam beradik itu tinggal di asrama di Kanibongan dan berulang alik ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas 2.

Difahamkan, jarak asrama itu ke sekolah terbabit sejauh kira-kira 15 kilometer atau 15 minit perjalanan.

Ibu Dayang Munisah, Rafiah Hamid, 50, pula reda dengan kejadian itu, namun berharap tragedi terbabit menjadi iktibar kepada semua pihak.

Katanya, ia khususnya dalam menyediakan kemudahan asrama di sekolah untuk kemudahan pelajar luar bandar.

"Kalau disediakan asrama di sekolah, pelajar tidak perlu berulang-alik dengan jarak yang jauh setiap hari," katanya.

Menurut Eyon, Dayang tinggal asrama berkenaan sejak Jun lalu dan berulang-alik ke SMK Pitas 2.

"Dayang anak yang baik dan jarang keluar rumah," katanya.

Berita berkaitan:

'Rupanya anak saudara saya'

Tragedi pilu 6.30 pagi

Empat pelajar `dijemput' ajal

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 8:25 PM