Orang ramai khususnya golongan muda mengambil peluang mendaftar sebagai pemilih semasa kempen dilaksanakan sebelum ini.
Orang ramai khususnya golongan muda mengambil peluang mendaftar sebagai pemilih semasa kempen dilaksanakan sebelum ini.
Mohd Husni Mohd Noor


SEBANYAK 229,919 pendaftaran baru sebagai pemilih diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun 3/2017 iaitu sepanjang Julai, Ogos dan September lalu.

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, bagi tempoh sama, pihaknya turut menerima 65,083 permohonan untuk pertukaran alamat bahagian pilihan raya daripada pemilih yang sedia berdaftar.

Beliau berkata, selaras dengan kehendak Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 2/2017 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 24 Oktober hingga 6 November ini di 960 tempat pameran di seluruh negara.

“Sepanjang tempoh pameran berlangsung, pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baru atau menukar alamat bahagian pilihan raya pada bulan Julai, Ogos dan September 2017 dinasihat menyemak Rang DPT Suku Tahun 3/2017.

"Bagi permohonan pendaftaran baru, jika pemohon mendapati namanya tidak tersenarai di dalam Rang DPT itu, pemohon boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserahkan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran Rang DPT itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT Suku Tahun 3/2017 di satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

Abdul Ghani berkata, seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang selaras dengan Peraturan 15 (3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Menurutnya, bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja dalam tempoh pameran Rang DPT Suku Tahun 3/2017.

"Semasa tempoh pameran Rang DPT itu, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih.

"Antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati tidak berhak untuk terus kekal di dalam daftar pemilih atas sebab-sebab tertentu antaranya ialah meninggal dunia, melepaskan atau dilucutkan hak kewarganegaraannya," katanya.

Katanya, sehubungan itu, SPR menyeru kepada semua pemohon yang mendaftar dalam tempoh tarikh 1 Julai hingga 30 September lalu supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka di tempat–tempat yang dinyatakan.

"Sebarang pertanyaan mengenai pameran Rang DPT Suku Tahun 3/2017 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-88927018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

"Pemohon juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar My SPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT Suku Tahun 3/2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 9:52 PM