Suspek mengacu pisau mesin pemotong rumput itu di leher mangsa menyebabkan mangsa tidak berani melawan kerana bimbang dicederakan.
Suspek mengacu pisau mesin pemotong rumput itu di leher mangsa menyebabkan mangsa tidak berani melawan kerana bimbang dicederakan.
Muhaamad Hafis Nawawi


DIPAKSA menunggang motosikal dalam keadaan pisau mesin pemotong rumput diacu di leher sejauh kira-kira empat kilometer sebelum dipukul, disamun dan diugut.

Itu nasib malang menimpa seorang lelaki berusia 30 tahun apabila diserang sepupunya, 28, ketika berada di rumahnya di Kampung Alor Selut, Alor Setar, Kedah, Selasa lalu sebelum dipaksa membawa suspek dengan motosikal ke Taman Saga.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berada di rumah sebelum didatangi sepupunya yang terus mengacu pisau mesin pemotong rumput di lehernya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, suspek turut mengambil telefon bimbit mangsa dan mengarahkannya ke Taman Saga dengan menaiki motosikal.

Menurutnya, malah sepanjang perjalanan itu, suspek mengacu pisau mesin pemotong rumput itu di leher mangsa menyebabkan dia tidak berani melawan kerana bimbang dicederakan.

"Keadaan ketika itu yang gelap menyebabkan tiada orang menyedari dia diperlakukan seperti itu.

"Sebaik tiba di kawasan semak di taman terbabit, suspek merampas kunci motosikal mangsa dan terus mengorek di tanah mencari sesuatu namun mangsa tidak pasti apa yang dicari lelaki itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Rozi berkata, mangsa cuba memujuk sepupunya itu menyerahkan semula kunci motosikalnya namun suspek terus memukul menggunakan sebatang buluh di belakang badan.

"Suspek turut mengugut mangsa menyebabkan dia yang ketakutan terus lari menyelamatkan diri sebelum ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menerima rawatan.

"Akibat kejadian itu dia mengalami cedera di belakang badan dan lengan sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Setar untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, polis kemudian mengesan suspek sebelum menahannya di Kampung Alor Selut Rabu lalu dan merampas semula telefon bimbit mangsa.

"Semakan juga mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes samun yang sudah dijatuhi hukuman dan kes dadah serta curi kenderaan.

"Suspek direman bermula Rabu lalu sehingga esok (hari ini) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 7:20 PM